Tuesday, 14 March 2017

Ride & Camp Pantai Pasir Lanun, Teluk Penyabung, Endau 11 - 12 Mac 2017



Kali ni aku ride bukan secara solo, tapi bertiga. Malah, ni kali pertama aku ride dan camping. Plan nak ke Teluk Penyabung ni dah lama terfikir, cuma tak ada masa dan kesempatan untuk pergi je. Sampai la Kert Hafiz (Repsol Honda RS150) mengajak pergi ride mana - mana, aku terus mencadangkan Teluk Penyabung. Lokasi ni sesuai la sebab dia dari Gambang manakala aku dari Melaka. Aku ajak lagi beberapa orang, tapi yang ikut hanyalah Helmi (Yamaha Y15ZR) dari Melaka.

11 Mac 2017

Aku bergerak dari rumah menuju ke Shell Jasin pada jam 10 pagi untuk berjumpa dengan Helmi. Dalam jam 10.30, Helmi sampai dan terus isi minyak. Lepas tu terus kami bergerak ke Bandar Muadzam Shah melalui Pasir Besar dan Felda Palong. Berhenti isi minyak di BHP Pasir Besar memandangkan jarak perjalanan yang masih jauh dan ditakuti tiada stesen minyak untuk disinggahi.

Jalan Felda Palong (1283) agak sempit dan pada masa itu, ada beberapa lori yang melambatkan perjalanan kami. Keadaan jalan yang sempit, berselekoh dan berbukit menyukarkan kami untuk memotong, lagi - lagi motor aku yang hanya 100 cc.

Sampai je di persimpangan Jalan Bahau - Keratong (11) , aku mula gembira pasal dah jumpa jalan utama. Jalan pun dah lebar dan tidak berselekoh. Ada juga lori yang perlahan tapi masa yang diambil tak terlalu lama untuk memotong.

Kami tiba di Petronas Bandar Muadzam Shah dalam jam 12.50 tengahari. Siap - siap isi minyak lepas tu lepak minum sambil menunggu Kert kat kedai makan. Kert tiba dari Gambang dalam jam 1.15 tengahari. Dalam jam 2.00 petang, kami sambung perjalanan ke Leban Chondong dan tiba di sana sejam kemudian.

Udang Galah Leban Chondong
Makanan kami bertiga

Gerai Makan Azizah Udang Galah, Leban Chondong

Kami berhenti makan di Leban Chondong untuk merasai kehebatan udang galah yang sering diperkatakan tu. Sanggup makan kuih je kat Muadzam Shah semata - mata nak makan tengahari kat sini. Kami makan di Gerai Makan Azizah Udang Galah. Yang ada cuma udang galah masak tomato. Harga sekilogram RM90. Seekor berharga RM20 - RM25 dah siap masak. Kalau tengok harga (harga memang terpampang pada menu) memang macam tak nak makan tapi dah alang - alang sampai sini dan teringin nak merasa udang galah, maka, ambil jugaklah seekor. Jumlah harga makanan kami bertiga adalah RM81. Jadi, purata adalah RM27 seorang, termasuk air. Sesiapa yang plan nak makan di sini, bawaklah duit lebih ye!

Dah selesai makan, kami sambung perjalanan. Aku dan Kert singgah isi minyak kat Petronas Tanjung Gemuk sebelum meneruskan perjalanan. Kami tiba di Pantai Pasir Lanun dalam jam 4.15 petang. Untuk ke sini dari Pekan Endau, ambil Jalan Penyabung - Endau (J182). Lalu jalan ni terus je sampai jumpa jeti Teluk Penyabung dan belok ke kanan hingga ke hujung jalan. Di hujung jalan (berhadapan Endau Beach Resort) ada jalan kerikil/pasir sepanjang 700 meter sebelum sampai ke Pantai Pasir Lanun. Jalan ini di kelilingi hutan jadi lebih baik sampai sebelum waktu malam supaya mudah sampai. Jalan tidak seteruk mana dan kereta boleh melalui jalan ini, cuma jangan laju.

Disebabkan kami tidak buat sebarang tempahan, jadi kami mencari - cari juga macam mana nak sewa tapak khemah. Aku pun bertanya kepada pekerja kedai makan di situ dan diperkenalkan kepada pemilik/penjaga chalet di situ.

Kedai makan dari arah pantai. Buka hingga jam 7 petang

Pemandangan sekitar pantai







RM8 je seorang untuk berkhemah

Kami dikenakan caj sebanyak RM8 seorang untuk berkhemah dan juga tandas. Kebiasaannya, tandas (berbayar) akan ditutup pada jam 7.00 malam (tiada pengunjung pada waktu malam). Kami memang perlukan tandas tersebut dibuka memandangkan itu sahaja sumber air paip yang ada untuk masak nasi dan air. Tiada pili air di sekitar kawasan perkhemahan.

Dalam pukul 6.15 petang, aku masak nasi untuk makan malam. Lepas tu barulah kami mandi laut sampai la dekat - dekat waktu maghrib. Kami makan nasi berlaukkan kari ayam dalam pek tu je. Tinggal panaskan je. Mudah. Tak lupa juga lauk yang Kert bawa bekal dari rumah. Daging masak kicap/ungkep. Kert yang masak sendiri. Sedap. Lepas makan kami berborak - borak je sambil makan kacang sampai la dekat jam 12 tengah malam dan lepas tu terus tidur.

Makan malam kami. Nasi bersama kari ayam dan daging kicap

Bulan purnama

Pondok yang kami gunakan. Siap berlampu tetapi lampu hanya ada selang 1 pondok. Kami masak di sini sahaja. Banyak pondok disediakan untuk kegunaan pengunjung
Lampu pondok dihidupkan seawal 7 petang

Khemah kecil untuk letak barang dan khemah besar untuk tidur
Motor diletakkan di tepi khemah. 
Perjalanan pergi melalui Jasin - Rim - Pasir Besar - Felda Palong - Keratong - Bandar Muadzam Shah - Leban Chondong - Kuala Rompin - Tg. Gemuk - Endau


12 Mac 2017

Masing - masing bangun untuk Subuh jam 6.30 pagi. Boleh pulak tengah solat, hujan gerimis (solat atas groundsheet je). Hujan gerimis kejap je, dalam 15 - 30 minit. Kami sarapan roti yang dibawa oleh Kert. Sapu dengan tuna. Air kopi O. Kami sarapan sambil tunggu matahari terbit.

Matahari terbit
Dalam jam 8.00 pagi, kami mengemas khemah dan bersiap - siap untuk pulang. Jam 9.00 pagi kami bergerak meninggalkan tapak khemah.





Masa lalu di kawasan jeti Teluk Penyabung, ada beberapa kedai makan. Jadi kami singgah untuk bersarapan (lagi). Aku dah kenyang pasal banyak makan roti, jadi aku hanya minum manakala Kert dan Helmi masing - masing mengambil nasi lemak dan mi goreng. Kedai makan ni tak pasti waktu operasinya tapi pada petang hari sebelumnya, aku macam perasan kedai makan ni dibuka. Lain kali, bolehlah tanya dulu sebelum nak masuk ke Pantai Pasir Lanun. Manalah tau kalau buka pada waktu malam, boleh juga makan malam dan mengeteh kalau tak bawa bekalan makanan.

Jam 10.00 pagi kami mula bergerak pulang. Kami berpecah di simpang Jalan Penyabung - Tg. Resang (J183). Kert ke arah Kuala Rompin manakala aku dan Helmi menggunakan jalan Penyabung - Tg. Resang (J183) dan Jalan Tg. Resang - Air Papan (J78) dan keluar di jalan utama sekitar 8 km dari Bandar Mersing. Kami singgah isi minyak di Petronas Mersing sebelum meneruskan perjalanan ke Kluang melalui Felda Nitar (1425 - 1399 - 1397).

Kira - kira 15 km dari Bandar Kluang, kejadian yang tak diingini belaku. Dry bag yang aku ikat atas box dengan cargo strap tercabut dan jatuh. Aku terdengar ada benda macam terjatuh dan motor aku pun ada terasa sedikit goyang. Aku pun dah tengok sebelah kiri belakang motor dan tak nampak apa -  apa yang pelik berlaku sampai la ada pemesin rumput yang sedang berehat menunjukkan sesuatu pada motor aku. Aku tengok sebelah kanan belakang motor, rupanya aku dah seret dry beag aku. Ada la 50 - 100 meter dari tempat aku dengar bunyi jatuh tadi.

Setting beg masa nak pergi. Tiada masalah kerana dry bag diikat pada beg 

Kesan seretan. Berlubang dry bag
Cara ikat cargo (dry bag) yang salah. Dry bag diikat pada box sahaja. Masih boleh bergerak kiri dan kanan walaupun pada awalnya sudah cukup ketat. Perlu ada 1-2 strap/getah lagi untuk lebih kukuh. Tak boleh buat macam masa nak pergi pasal beg ditutup dengan plastik. Cuaca agak mendung di awal perjalanan











Ada cargo net, gunakan untuk tutup bakul supaya botol minyak tak bergerak dan baju hujan tak terbang
Ikat batang khemah kat monorack. Stabil dan tak bergerak. Tak menghalang daripada seat dibuka untuk isi minyak

Sampai di Kluang, kami makan tengahari di Kluang Rail Coffee, betul - betul kat Stesen Keretapi Kluang. Aku makan mi soto dan ban bakar serta air kopi ais. Rasa boleh tahan sedap dan harga memang berpatutan. Hanya RM6.80 je. Kami bergerak ke Muar melalui Yong Peng dan Parit Sulong pada jam 1.00 tengahari (50 - 1 - 24).




Yang serbuk milo kat atas tu namanya coco dinosour. Helmi yang order

Kami tiba di Muar jam 3.15 petang, minum cendol di Cendol De' Raja. Aku order cendol special. Bukan special sangat pun, cuma ada jagung dan kacang merah je. Nak lagi special, cendol special pulut durian la. Kat sini ada juga rojak dan cucur udang. Lokasi kat Jalan Meriam, dekat dengan Muar High School.

Kedai cendol baru buka kot. Aku yang orang Muar pun baru tahu. Biasa pergi cendol Jalan Sisi je

Cendol special RM2.50 dan cucur udang yang tak pasti harganya pasal bukan aku yang order

Selesai minum cendol, aku dan Helmi ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim untuk solat sebelum masing -  masing pulang ke rumah.

Perjalanan balik melalui Teluk Gorek - Air Papan - Mersing - Felda Nitar - Kahang - Kluang - Air Hitam  - Yong Peng - Pt. Sulong - Bakri - Muar 

Perjalanan kami semua baik sahaja tanpa ada sebarang masalah kecuali dry bag aku terjatuh dan terseret. Cuaca baik sepanjang perjalanan tanpa hujan.

Jarak perjalanan: 258 km (pergi) + 237 km (balik) = 495 km
Minyak petrol: RM5 (rumah) + RM4.70 (Pasir Besar) + RM6.70 (Bandar Muadzam Shah) + RM5 (Tg. Gemuk) + RM4 (Mersing) + RM6 (Kluang)  = RM31.40
Tapak khemah: RM8
*nombor yang di dalam kurungan merupakan nombor jalan yang dilalui

2 comments:

  1. Respect kat kawan2 lu bro..moto sedap2 pon boleh ride santai je dgn wave..kalau kawan aku mula2 je ckp santai,pastu perah minyak sampai 140km/h tertinggal aku kt belakang..moto wave 110 cc paham2 jela semput nak kejor RS150 dgn Y15zr

    ReplyDelete
    Replies
    1. pergi bertiga...masih boleh dikawal. hehe. saya pon ada kena tinggal, tapi diorg tggu di depan

      Delete