Tuesday 11 October 2016

Gunung Nuang 20-21 Ogos 2016

20 Ogos 2016

Pukul 5.20 pagi aku gerak naik moto dengan backpack pergi umah Asrol kat Merlimau. Lepas tu tumpang kereta Asrol pergi ke UiTM Jasin, untuk solat Subuh dan ambil Bilal Helmi dan Zul. Lepas solat, dalam 6.15 bergerak ke Gunung Nuang.

Sampai kat kawasan Batu 18 Jalan Hulu Langat tu, berenti sarapan dulu dan ada yang bungkus roti canai untuk lunch. Aku terus makan nasi lemak dan roti telur. Makan berat sikit pasal lunch nanti cuma makan roti je yang dah beli kat stesen minyak tadi.

Sampai parking Gunung Nuang tu dalam pukul 9.30. Parking kereta penuh pasal ada event pada sebelah malam. So jauh sikitlah parking kereta. Siap-siap apa semua, pukul 10 baru nak mula trekking. Sebelum trekking, daftar dulu dengan pejabat hutan kat pintu masuk. Tulis nama dan butiran lain serta bayaran RM1.

Kat pintu masuk Gunung Nuang. Ni kat belakang gate je

Pelan laluan
Dari gate ke Kem Lolo ambil masa 2 jam. Itu kira biasa-biasa la tu. Tak laju dan tak slow sangat. Sampai je kat Kem Lolo, kami pasang flysheet dan tent. Kami keluarkan peralatan memasak dan simpan dalam khemah. Peralatan tu semua untuk digunakan oleh 'support team' (haha) yang takkan naik puncak. Diorang belum sampai lagi masa tu. 'Support team' ni kawan-kawan Asrol yang duduk area Selangor/KL. Ada 3 laki dan 3 perempuan. Nama aku dah tak ingat. Yang ingat sorang je iaitu Rahman.

Pukul 12.45 kami bergerak naik ke puncak. Tak ramai yang naik time gini pasal time ni dah kira lambat nak ke puncak. Dan ada yang dah turun pun masa kami nak ke Kem Pacat. Tapi itu yang dah tak larat la...naik sampai Kem Pacat je. Kami sampai Kem Pacat pukul 1.15. Rehat-rehat kejap, pukul 1.30 gerak semula.

Kat kem Pacat, bahagian atas. Zul tengah panjat pokok belit kat belakang tu
Untuk ke Puncak Pengasih, kami ambil masa 2 jam. Time ni memang kami dah penat sangat. Rehat dalam 20 minit baru kami gerak semula pada pukul 3.50. Kami sampai puncak dalam pukul 4.20 petang. Rehat kejap sambil ambil gambar dan makan sikit, kami pun bergerak turun dari puncak dalam pukul 4.35 petang. Kami tak boleh lama-lama kat puncak pasal kami target untuk sampai ke Lolo sebelum gelap.

3 orang je yang berjaya sampai ke puncak. Asrol tak berjaya
Masa turun dari puncak, sebelum Puncak Pengasih, korang boleh nampak batu sempadan Selangor-Pahang macam gambar kat bawah ni.
Batu sempadan Selangor-Pahang. Aku diri dalam negeri Pahang ni. Boleh nampak 'PAH'. Yang 'SEL' sebelah belakang
Kami terus je berjalan tanpa berhenti di Puncak Pengasih sampai la kat Kem Pacat. Kami berhenti untuk solat. Air wuduk kami guna air hydration pack je. Aku bawak 2L. Lepas wuduk pun masih ada lagi baki untuk dibuat minum ke Lolo. Kami gerak turun pukul 6.15 dan kami turun agak laju walaupun dah barai tak ingat punya. Dengan langit yang mendung ditambah dengan pokok hutan, keadaan gelap sedikit, tapi masih tidak perlukan lampu untuk trekking. Sampai di Lolo pada jam 7.05 malam. Alhamdulillah. Semua selamat tiba tanpa ada kecederaan.

Sampai di campsite, Asrol dan kawan-kawanya dah tunggu siap dah masakkan jemput-jemput dan sediakan air teh-o lagi untuk kami. Dinner pun dah siap masak. Trip Nuang kali ni memang barai pada aku. Ini kali ke 8 naik Nuang (6 kali sampai puncak), dan yang ni paling teruk pernah aku rasa. Trek dah makin teruk (dari Pacat ke Pengasih) dan umur (tak fit!)  menjadi faktor kebaraian aku pada kali ni. Nasib la tak buat daypack. Kalau tak jenuh nak trekking keluar lagi 2 jam.

Lepas mandi dan solat, barulah kami makan malam sambil borak-borak dengan kawan baru. Itulah geng outdoor, cepat mesra walaupun baru kenal. Malam tu lauk memang terbaik dan banyak. Seingat aku lauk ayam masak lemak cili api dan lauk-lauk lain. Aku entah berapa kali tambah pasal taknak membazir. Lagipun itu untuk aku cover balik pasal aku tak makan nasi tengah hari tadi.

Kami tidur entah pukul berapa, tapi aku tak dapat tidur dengan nyenyak sebab belagak tak nak bawak sleeping bag. Walaupun dah pakai sweater, stokin pun pakai, tapi sejuk sangat wei. Lain kali memang kena bawak. Lolo memang sejuk!

21 Ogos 2016

Aku terjaga pukul 6.15 pagi pasal alarm hp aku dah bunyi. Masa nak ke sungai, ada orang suluh aku, rupanya Zul lagi awal bangun. Lepas je solat Subuh, aku baring-baring je tunggu hari terang sikit. Dalam pukul 7 camtu, aku masak air untuk dibuat air minum. Lepas tu para tukang masak masuk ke dapur untuk masak sarapan. Menunya adalah nasi lemak. Bukan nasi lemak pun tapi nasi putih lebih makan malam cuma sambalnya dibubuh dengan santan. Jadi masa makan tu rasa la lemak-lemaknya tu. Santan yang dibawa adalah santan segar dimasukkan dalam botol. Mungkin disejukbekukan sebelum dibawa trekking. Sampai je kat Kem Lolo, santan tu diredam dalam sungai untuk elakkan daripada basi.

Masa tengah sarapan tu, ramai pendakai-pendaki nak naik ke puncak. Memandangkan hari tu hari Ahad, yang naik ni kebanyakan daypack je. Ada jugak yang bawa peralatan camping, tapi sikit. Lepas sarapan, kami pun mengemas khemah dan peralatan dan dalam pukul 10.30 kami bergerak keluar. Kami tiba di pintu keluar pada jam 12 tengahari.

Tukang masak beraksi
Kemas kemas...

Full line-up Gunung Nuang
Ok, dah boleh balik
Dah sampai gate semula...

Bersama Rahman

Sedikit info tentang Gunung Nuang:

Terletak di daerah Hulu Langat, Selangor
Ketinggian: 1493 m

Anggaran masa trekking :-
Gate - Kem Lolo = 2 jam
Kem Lolo - Kem Pacat = 30 min
Kem Pacat - Puncak Pengasih = 2 jam
Puncak Pengasih - Puncak Nuang = 45 min
(Total masa ke puncak = 5 jam 15 min)

Puncak Nuang - Puncak Pengasih = 15 min
Puncak Pengasih - Kem Pacat = 1 jam 10 min
Kem Pacat - Kem Lolo = 50 min
Kem Lolo - Gate = 1 jam 30 min
(Total masa turun = 3 jam 45 min)

Anggaran masa naik dan turun = 9 jam tak termasuk rehat kat puncak. Jadi, korang pikirlah sendiri! Hahahaha.

Barang keperluan:
- air minum 1.5L atau lebih (boleh jugak bawak air berperisa sebotol untuk hadiah kemenangan disamping nak bagi hilang payau asik minum air sungai je dari tadi)
- packed lunch
- makanan ringan seperti coklat, biskut, gula-gula
- head lamp/torch light
- barang keperluan kecemasan seperti pisau lipat, lighter, first aid kit dll...