Friday 27 January 2017

Gunung Datuk - Rembau - Gagak 15 Jan 2017


 Aku gerak dari rumah kat Sg Rambai, Melaka lepas solat Subuh, dalam pukul 6 macam tu. Masuk hiway ikut tol Jasin, berhenti kejap kat RNR Ayer Keroh, beli sedikit kudapan di stesen Petronas. Keluar hiway ikut tol Alor Gajah.

Sampai di Hutan Lipur Gunung Datuk dalam jam 7.05 pagi. Tapi parking dah penuh. Turun balik cari parking lain. Memang ramai sungguh hari tu (Ahad). Jadi aku cadang, kalau nampak je kereta dah park kat bawah tu, park je lah kereta korang kat situ. Takut bertambah sesak pasal masa korang nak turun, ada kereta lain nak naik. Jalan pun tak jauh mana. Pagi-pagi lagi. Sejuk lagi.

Pagi tu kami mula trekking lambat pasal crew lambat sampai dengan makanan (sarapan dan makan tengahari). Diorang pergi beli di pekan Tampin. Dalam 15 minit dari kaki Gunung Datuk ni. Selepas sedikit taklimat dan regangan, kami bergerak ke Gunung Datuk pada jam 8.50 pagi. Seramai 25 orang yang ikut trip Core Adventure ni.

Taklimat oleh crew Core Adventure
Aku antara yang sampai awal di puncak Gunung Datuk yang ambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Masa standard untuk sampai ke puncak Gunung Datuk ni biasa dalam 2 jam. Di atas puncak Gunung Datuk, memang ramai pendaki yang dah sampai. Terlalu ramai. Kami pun dah diberikan taklimat supaya tidak naik ke puncak batu untuk memudahkan pergerakan ke Gunung Rembau pula. Puncak batu hanya akan didaki selepas pulang dari Gunung Gagak. Memandangkan puncak batu tersebut hanya ada 1 laluan naik dan turun, maka berlakulah kesesakan. Siap kena tunggu turn nak naik.

Punyalah ramai orang kat puncak Gunung Datuk

Kawan se-trip
 Pada jam 11.00 pagi, semua peserta diarahkan berkumpul untuk taklimat ringkas. Kami akan ke Gunung Rembau dahulu kemudian baru ke Gunung Gagak. 'Jangan silap', kata crew. Dalam jam 11.15 pagi, kami bergerak ke simpang Rembau - Gagak meninggalkan peserta di belakang kerana melebihi cut-off time.

Perjalanan ambil masa 35 minit sahaja untuk sampai ke simpang. Bolehlah bajet 45 minit untuk pace yang lebih rilex.

Simpang ke Gunung Rembau dan Gunung Gagak
 Dari simpang ke Gunung Rembau, 10 minit je. Jalan menaik landai tapi ada belukar dengan pokok resam. Yang mana bawak beg besar tu, boleh la tinggalkan kat simpang. Bawa air je cukup.

Puncak Gunung Rembau

Gambar kumpulan
 Lepas amik gambar kumpulan, kami patah balik ke simpang dan makan tengahari di situ. Dalam jam 1.15 petang, kami bergerak ke Gunung Gagak. Trek naik-turun-naik-turun dan laluan agak curam. Tambah plak trek licin sebab hujan pada hari semalam. Perjalanan ambil masa 35 min. Kalau pace rilex, 45-60 minit. Memandangkan dah masuk waktu Zohor, beberapa peserta menunaikan solat Zohor sebab tak cukup marhalah nak buat jamak. Yang dari KL mungkin lebih 2 marhalah.

Puncak Gunung Gagak
Kami bergerak turun pada jam 2.20 petang terus ke Gunung Datuk. Pace aku agak cepat, dalam 50 minit dah sampai di puncak Gunung Datuk. Rehat kejap kat situ, jam 3.15 aku dan 3 orang peserta lain mohon diri untuk terus pulang tanpa menunggu peserta lain dan kami juga tidak mendaki puncak batu Gunung Datuk. Aku turun dengan agak cepat dan sampai di kaki gunung pada jam 4.00 petang.

Nota tambahan:
1. Kalau nak park kereta, tengok-tengok sikit. Kereta aku tak boleh keluar. Kena tarik. Tayar depan kiri spin. Takde traction nak undur.
2. Lebih baik datang awal, tidur kejap kat parking untuk dapat parking yang dekat.
3. Harap sedikit sebanyak membantu untuk yang ingin pergi ke Gunung  Rembau dan Gagak. Tapi pastikan berkumpulan dan mempunyai pengalaman mendaki. Lebih baik gunakan guide yang bertauliah.