Thursday 28 April 2016

Pulau Perhentian 14-17 April 2016

Gambar kami sekeluarga di hadapan Senja Bay Resort
14 April 2016

Kami bergerak ke Terengganu lebih kurang jam 10 pagi dari Sg. Rambai, Melaka melalui Tangkak, Segamat dan Bandar Muadzam Shah. Sampai di Bandar Muadzam Shah dalam pukul 12.30 tengahari, kami berhenti makan kat kedai makan kawasan situ. Tak sure mana lokasinya pasal kami pun pusing-pusing je sampai jumpa kedai makan. Makan dalam setengah jam, kami sambung perjalanan ke Terengganu.

Kali ni, 1st time kami lalu hiway LPT2. Kami masuk ikut Gambang dan keluar di exit Kuala Terengganu. Berhenti solat kejap kat RNR Perasing. Tak banyak kedai makan yang bukak. Kedai runcit pun tak sure bukak ke tak masa tu. Sepanjang-panjang LPT2, takde stesen minyak ye. Jadi, isi minyak awal-awal. Kami pun masuk hiway minyak ada separuh. Alhamdulillah sampai jugak ke exit Kuala Terengganu. Jarak dari tol Gambang ke tol KT tu 219km. Jauh jugak tu. Siapa-siapa yang dari arah Gambang, boleh la isi minyak kat Gambang tu. Kami pun ready je nak exit mana-mana tol kot-kot minyak tak cukup.

Isu minyak tak abis kat situ je. Lepas je keluar tol, kami cadang nak lalu jalan pantai. Aku pun try je ikut Batu Rakit. Itu pun ingat sikit-sikit dulu pernah lalu situ. Sekali...ikut jalan dalam takde stesen minyak la...kete waja aku tu dah menyala lampu ultraman dia mintak nyawa. Nampak signage Petronas di hadapan, tapi 10km di hadapan la. Takut je minyak abis tengah jalan. Last sekali jumpa jugak Petronas tu. Kat Merang. Lepas isi minyak, sambung lagi perjalana ke Pantai Penarik, saje nak layan view pantai waktu petang. Cumanya, tak dapat le tgk sunset pasal matahari bukan terbenam ke arah laut. Lepas layan view, kami pergi makan di kedai makan sekitar Penarik tu. Makan malamlajh kiranya. Aku order sotong celup tepung, tapi rasanya tak sesedap masa aku makan kat Dungun dulu. Tak tau sebab sotongnye ke, atau tepung celup tu ke.

Lepas makan, kami bergerak ke Jerteh untuk bermalam di hotel. Kami tido kat 1 Utama Hotel. Bunyi macam gempak je 1 Utama tu. Tapi takde kena-mengena dengan 1 Utama kat Bandar Utama tu. Harga hotel semalam untuk standard room (ada katil queen sebuah, TV, aircond, pemanas air, cerek elektrik) RM80 je. Biliknya kecik je. Kira sesuailah dengan harganya. Kami pun cuma nak bermalam 1 malam je. Tapi bilik kecik dengan2 orang budak kecik memang rasa tak muat je. Haha. Masa nak bayar tu, receptionist akan mintak RM50 sebagai deposit. Masa check out nanti dia bagi balik duit tu.

Ikut survey aku, harga hotel kat Jerteh murah sikit daripada Kuala Besut. Mungkin Kuala Besut dah dekat dengan jeti, harga mahal sikit kot. Kalau datang naik kereta sendiri, bermalam kat Jerteh pun dah OK. Kedai pun banyak untuk beli apa-apa barang yang dibawa ke pulau nanti. Kedai pun banyak yang tutup pukul 10. Kira OK la tu. Takde la cepat sangat tutupnya.

Berhenti sekejap di Pantai Penarik, Setiu. Tengok pemandangan dulu dan makan malam

Zara main pasir

Feveret Amirul bila jumpa pasir. Confirm main

15 April 2016

Aku rasa kami bergerak keluar dari hotel dalam pukul 8, kemudian pergi sarapan kat area dekat-dekat situ. Makan roti canai je. Ingat nak merasa makan nasi dagang ke...yang ada nasi minyak yang dah siap dibungkus. Aku beli 2 nasi minyak tu untuk dimakan kat pulau.

Sampai je kat jeti, aku turunkan family aku dan aku pergi cari parking. Ada seorang pengusaha parking tu offer parking kat tempat dia. Lagipun dia kata nak hantar aku balik ke jeti naik moto, aku pun OK je la. Parking patutnya RM10 utk 1 hari. Tapi brader ni bagi RM25 je untuk 3 hari. Kira diskaun la pasal aku masuk pun dah pukul 10. Lepastu, aku bagitau hari Ahad aku nak amik bot pkl 8. Aku rasa memang diorang akan bagi kurang kalau korang masuk parking dah lewat dan balik dari pulau pagi.

Lepas park kereta kat rumah dia, brader ni offer bot pulak. Dia kata kawan dia punya syarikat bot. Aku pun OK je. Harga pun sama kalau pergi tempat lain pun. Aku diberitahu, kami naik bot pukul 10.30. Dalam 10.45 kot baru kami naik bot. Tunggu orang la tu kot. Takpe. Takde hal.

Di Jeti Kuala Besut menunggu bot
Kami sampai kat Coral Bay, Pulau Perhentian Kecil dalam 30-45 minit je dari Kuala Besut. Laut pun tak berombak sangat. Anak aku Zara je yang takut. Pejam mata sampai tertidur. Dulu masa kecik naik bot tak takut pun. Kecik lagi, tak tau takut lagi agaknya dulu. Sampai je kat jeti Coral Bay, dah nampak Senja Bay Resort. Jauh jugak nak berjalan. 100-150 meter kot jauhnya. Pada aku, jarak yang jauh macam ni kurang sesuai untuk family yang ada anak kecik macam aku. Lepas tu, semua dive center dekat dengan jeti pasal sebelah kanan teluk tu adalah kawasan berenang. Bot tak boleh lalu situ. Aku ni berulang-alik ke dive center (Quiver Dive Team). Siap ada tertinggal barang patah balik pun ada. Penat jugak la jalan atas pasir tu. Kalau nak dekat, Shari-La dan Ombak Resort dekat dengan jeti. Tapi masa aku cek bilik masa nak booking bilik, Shari-La dah penuh. Ombak pulak mahal. Mungkin dah takde bilik kot. Tu yang mahal.

Kat Jeti Kuala Besut. Dalam bot sebelum bertolak
Petang tu pukul 3.30 aku diving kat Lighthouse. Rumah api depan Coral Bay tu je. Kat sekeliling rumah api tu penuh dengan coral. Viz air dalam 10m. Kira OK la. Hard coral banyak. Ikan pun banyak. Aku dive dengan Divemaster bernama Robert dan sorang lagi mat saleh yang aku tak ingat nama dia.

Lepas balik dari diving, bawak budak2 mandi laut pulak depan resort. Ombak tak kuat, sesuai la untuk budak kecik. 


16 April 2016

Lepas je subuh aku siap2 pergi sarapan. Sarapan kat resort ni disediakan pukul 7.15. Lepas sarapan, aku terus gerak ke dive center, kena ada kat sana pukul 8 untuk siap2 pergi diving ke dive site Tanjung Butong. Lokasi Tanjung Butong ni kat utara pulau. Tanjung yang berbatu-batu, memanjang menajur ke laut. Macam semalam, aku dengan mat saleh yang sama pergi diving. Divemaster je orang lain. Nama tak ingat pulak.

Peta dive site Pulau Perhentian

Scuba diving di Tanjung Butong

Penyu di Tanjung Butong

Lepas je diving, bersiap pulak nak ke snorkeling trip. Kena Kumpul depan resort pukul 10.30. Kami dibawa ke 6 tempat:

1) Shark point (Pulau Perhentian Besar) - aku tak jumpa jerung tapi driver boat tu ada jumpa seekor.
2) Fish point (Pulau Perhentian Besar) - wife aku je turun tapi kejap je pasal air agak berombak. Dia takut.
3) Turtle Point (Pulau Perhentian Besar) - yes. Jumpa penyu yang besar. Aku skin dive amik gambar dalam 5m kot
4) Kampung Nelayan (Pulau Perhentian Kecil) -  berhenti untuk makan tengahari. Kedai buat ala carte. Lambat. Kalau ada nasi campur cepat skit.
5) Lighthouse (depan Coral Bay) - aku dan wife tak turun. Arus agak laju dan aku pulak dan dive tempat ni semalamnya.
6) Romantic Beach (sebelah Coral Bay) - pantai cantik. Air jernih. Wife aku je yang turun. Aku jaga anak aku yang tidur.

Masa snorkeling trip kat Romantic Beach, jumpa pulak Toyang, kawan main ragbi dulu. Dia menyelinap dalam air tau2 tepi bot tepuk tangan aku. Maaflah, takde gambar. Haha.

Snorkeling trip

Zara pun nak berenang. Dia bukan tau air tu dalam mana..mau dekat 3-4 meter
Amirul nak berenang

Bawa Zara berenang kat Shark Point
Penyu di Turtle Point

Wife snorkeling kat Romantic Beach


Cicak tokek datang melawat pulak

17 April 2016

Bangun awal pasal nak naik bot pukul 8 pagi. Semalamnya dah call siap2 syarikat bot kata nak balik pukul 8 pagi. Budak2 ni tukar pampers je. Tak mandi. Bawa turun pergi sarapan dan terus ke jeti lebih kurang 5 minit sebelum pukul 8. Aku singgah kat dive center untuk ambik dive gear. Bot sampai dalam 8.15 dan sampai di Kuala Besut dalam pukul 9.


OTW balik ke Kuala Besut berlatarbelakang Pulau Perhentian
Sampai je jeti aku call brader parking mintak tolong ambik aku kat jeti untuk bawa ke parking. Masa balik ke Melaka tu aku ikut jalan pantai sampai ke KT lalu Kg. Raja - Penarik - Merang. Sempat singgah di Masjid Kristal, beli keropok losong kat Kg. Losong dan Pasar Payang. Masuk hiway LPT2 kat tol KT hingga ke Gambang. Lepas keluar tol kat Gambang, makan dulu kat kedai makan sebelah simpang 4 Gambang sebelum balik ke Jasin melalui Muadzam Shah - Segamat - Tangkak.

Masjid Kristal


Nota:

Aku pergi trip ni tak guna mana2 pakej. Booking hotel senja bay resort tu je. Harga hotel sederhana la. Kalau nak murah tu ada je tapi kipas la. Dan biasa review kat internet tak berapa best. Hotel kat Jerteh, snorkeling trip, dive trip, speed boat dari Kuala Besut semua aku walk in saje.

Minyak: lebih kurang RM150 (waja: Jasin - K. Besut - Jasin)
Tol: Gambang - KT (RM3.40), KT - Gambang (RM3.40)
Hotel 1 Utama, Jerteh: RM80
Senja Bay Resort, Pulau Perhentian Kecil: RM530. 3 hari 2 malam (2 dewasa + 1 kanak2 siap sarapan)
Bot laju Kuala Besut-Pulau Perhentian: RM175 (35 sehala. Kanak2 separuh harga)
Parking Kuala Besut: RM25
Makan kat pulau: RM127 (1 lunch, 2 dinners)
Snorkeling trip: RM80 (RM30 seorang, kanak2 RM20)

Thursday 7 April 2016

Gunung Tampin Selatan 3 April 2016

Aku teringin nak naik gunung ni lepas beberapa kali lalu kat pekan Tampin ni nampak signboard 'Gunung Tampin'. Jadi, aku cari la maklumat berkenaan gunung ni. Ada beberapa blog yang cerita pasal Gunung Tampin ni.

Kami set untuk berkumpul jam 7.00 pagi kat UiTM Jasin. Dalam pukul 7.10 semua peserta sampai. Aku, Hafifi, Asrol dan Zul. Bila semua dah cukup, kami terus bergerak ke Tampin, naik kereta aku. Sampai Tampin dah pukul 8.00 lebih, cari warung untuk sarapan. Aku dan Asrol makan nasi lemak, Hafifi makan laksa (laksa tu pagi-pagi. Haha). Zul makan telur separuh masak 2 biji je. Saja makan berat pasal takut keluar dari hutan lambat.

Arah jalan ke kaki Gunung Tampin dari arah Tol Simpang Ampat

Dah sudah sarapan, kami terus je kek kaki Gunung Tampin. Park kereta kat area taman. Sebelah rumah orang je. Ok juga, selamat sikit. Kalau nak pergi, korang search je Taman Ametis. Terus je masuk ke dalam. Ada signboard. Kami parking kat depan bus stop, kat belakang bus stop tu ada signboard macam kat gambar bawah ni.

Sebelum mula mendaki, ambil gambar dulu...
Melalui pintu gerbang Gunung Tampin

Kami mula mendaki pada pukul 9.10. Sambil mendaki, kami menyapa uncle/auntie/makcik yang berjoging di kaki gunung ni. Rata-rata yang berjoging sudah berumur. Tapi nampak masih sihat lagi. Kami dimaklumkan yang kami akan berjalan atas jalan tar sehingga ke puncak Bukit Tampin, yang ada menara pemancar TM tu. Ikut je jalan dan tiang elektrik. Semua ada 95 tiang. 

Pada tiang ke-40, kami tiba di kolam mandi buatan. Airnya disalurkan dengan paip ABS dari atas gunung menggunakan sistem paip graviti.

Kolam mandi buatan. Yang ni yang bawah. Ada 1 lagi kolam kat atas tu. Kat batu besar tu. Boleh nampak juga paip graviti berwarna hitam
TM Green Patch. Aku pun tak tau ape ke benda ni. Kat sini boleh park kereta jugak. Kawasan agak luas. 

Kami tiba di puncak Bukit Tampin pada pukul 10.15 lebih kurang. Tiang elektrik terakhir adalah yang bernombor 95. Rehat sambil ambil gambar sikit. Masa kami di atas, ada seorang brader sedang berehat. Lepas je brader tu turun, ada 1 keluarga melayu sampai. Meraka berempat, ayah, mak dan anak 2 orang. Keluarga tu kami selisih kat kolam mandi tadi.

Stesen Pemancar TM. Kereta kat belakang tu kereta staf yang bertugas kat sini kot



Dah hilang penat, kami bergerak ke Gunung Tampin Selatan. Kena turun balik ke tiang no. 90. Kat situ ada tangga konkrit turun ke bawah bukit. Tangga ni di sebelah kiri jalan, kalau kita dari arah atas. Tangga ni sikit je. Jalan dalam 2 minit je dah habis tangga tu. Habis je tangga, baru mula trek hutan, dan mula mendaki.

Lalu je trek hutan, aku tengok daun kering atas trek tak terusik. Aku rasa trek ni macam dah lama orang tak lalu. Baru jalan sikit, aku dah kena keluarkan parang. Trek bersemak. Duri rotan banyak. Aku dah prepare parang siap-siap pasal aku ada baca blog yang kata hutan tu jarang orang masuk. Aku jarang bawa parang kalau daypack ni. Banyak tempat juga nak kena tebas. Tapi trek memang jelas la pasal dah ditanda dengan plastik kuning 'Garisan Polis' tu sepanjang trek ke puncak. Plastik kuning ni nampak masih baru. Belum reput. Masa trekking tu, aku perasan ada daun pelepah pokok rotan tu dah ditebas. Nampak masih baru, masih hijau tapi bahagian dipotong tu dah kering. Aku kira ada orang yang baru-baru masuk jugak hutan ni. Tapi treknya tak ditebas habis. Aku tebas je ape yang ada atas trek tu. Jadi tak la trek tu bersemak kalau orang lain masuk nanti. Takut-takut hutan tu lama orang tak masuk kang, silap-silap hilang trek tu.

Trek ni tak susah mana. Mencanak pun sikit je. Yang buat lambat tu pasal menebas. Masa tengah trekking tu boleh nampak batu sempadan kat atas tanah. Apa yang aku baca, itu batu sempadan daerah Tampin-Rembau.

Sebelum sampai puncak ni, ada pokok tumbang. Kami redah je cross atas pokok tumbang tu. Memang nampak ada orang pernah lalu. Lepas redah dan jalan sikit, sampai la kat puncak. Puncak ditanda dengan beirut warna kuning tu. Aku masih tak tau mana datangnya perkataan beirut tu. Kat belakangnya pula ada kertas dilaminate bertulis tangan 'Gunung Tampin Selatan 733m'. Aku ada data ketinggian gunung yang aku download dari gunung online. Ketinggian Gunung Tampin adalah 764m. Adakah 764m ni ketinggian Gunung Tampin Utara? Dari jalan tar, kami ambil masa dalam 1 jam untuk sampai ke puncak.

Puncak Gunung Tampin Selatan



Masa nak turun tu, aku berhenti sekejap menunggu orang kat belakang. Bunyi bising riang-riang kuat betul. Rasa dekat je dengan aku. Jadi aku cari-cari jugak mana riang-riang tu. Jumpa juga akhirnya. Riang-riang ni warna dia menarik sikit. Hijau-perang. Biasa yang kita jumpa kat rumah tu warna hijau muda je.

Riang-riang yang berwarna hijau-perang. Mata merah

Plastik 'Garisan Polis' yang jelas menanda trek ke Gunung Tampin

Tangga turun ke trek hutan Gunung Tampin
Kami ambil masa dalam 40 minit turun dari puncak ke jalan tar semula.

Tiang elektrik no. 90. Landmark untuk ke trek hutan

Kami sampai di pintu gerbang lebih kurang pukul 1.40. Sejam jugak nak melayan turun jalan tar ni. Masa turun, Asrol ada tanya-tanya kat uncle yang melepak kat pondok tepi jalan sedang minum air kelapa pasal Gunung Tampin Utara. Ada la info sikit-sikit. Kalau ikutkan google map yang ON option terrain, memang nampak ada 2 puncak. Kalau ikutkan lagi, bukan itu aje. Kita boleh ke Gua Batu Maloi, ke Gunung Gagak, Gunung Rembau malah ke Gunung Datuk! Ada 2 orang yang bertanya kepada kami adakah kami hiking ke Gunung Datuk. Ada teringin juga nak recce trek ke Gunung Datuk.

Yeah, dah boleh balik! Dari kiri: Zul, aku, Hafifi, Asrol
Masa nak balik, kami singgah makan tengahari di Medan Selera Sri Kendong. Makan daging salai masak lemak cili api. Peh...sedap wei...dah makan, minum pulak cendol goncang...memang marbeles. Lepas makan kami terus balik ke UiTM Jasin. Sampai pun tak ingat dah pukul berapa.

Sampai di sini sahaja untuk kali ini. Diharap segala info dapat membantu pendaki untuk mendaki ke Gunung Tampin Selatan. Cuma pesanan aku, jangan mendaki seorang diri dan seeloknya pergi bersama orang yang berpengalaman.