Friday 14 February 2020

GUNUNG LATIMOJONG 21 - 27 JAN 2020

Kesemua 13 orang pendaki di Puncak Rante Mario dan seorang porter warga Sulawesi. PC: Zen

Latarbelakang Gunung Latimojong

Gunung Latimojong terletak di Kabupaten Enrekang, Provonsi Sulawesi Selatan, Indonesia. Pekan paling hampir dengan kaki gunung Latimojong ini adalah Baraka (Kecamatan Baraka), 250km dari Kota Makassar. Ada beberapa puncak di Gunung Latimojong ni, dan puncak yang tertinggi adalah puncak Rante Mario, berketinggian 3478m d.p.l. Puncak Rante Mario merupakan puncak tertinggi di Pulau Sulawesi dan salah satu puncak 7 Summits Indonesia

Senarai Pendaki

Trip kali ini disertai oleh 13 orang pendaki. 11 orang warga Malaysia, 2 orang warga Indonesia. Salah seorang pendaki Indonesia tu adalah suami warga Malaysia iaitu Kak Mie yang menetap di Putrajaya.

1. Kuyek (Ketua Ekspidisi)
2. Asoi
3. Arif
4. Ipin
5. Jay
6. Mas
7. Mbak Ana (warga Indonesia)
8. Panglima (P5)
9. Kak Jaja (isteri P5)
10. Abe
11. Hani (isteri Abe)
12. Kak Mie
13. Zen (suami Kak Mie, warga Indonesia)

Trip kali ini adalah trip getlost.asia - Latepackers memandangkan 9 orang pendaki adalah ahli Latepackers. Trip ini juga adalah trip recce sebab tiada seorang pun dari kami yang pernah sampai ke sini. Insya allah, lepas ni adalah tu trip getlost.asia ke Gunung Latimojong lagi.

Dari kiri: Zen, Kuyek, Asoi, Jay, P5, Abe, Ipin, Hani, Mbak Ana, Kak Jaja, Kak Mie. PC: Zen


21 Jan 2020 (Selasa)

Aku paling awal tiba di KLIA2. Jam 12 lebih dah sampai diikuti oleh Kak Mie dan Zen. Pada jam 0430, Jay je yang belum sampai dan masih menunggu Grab di rumahnya di Bandar Seri Putera. Jadi kami check-in luggage dulu tanpa Jay. 

Dari kiri: P5, Ipin, Abe dan Arif di KLIA2

Kapal terbang kami berlepas pada jam 0755 dan tiba di Bandara Hasanuddin pada jam 1052. Sulawesi ni time zone sama macam Malaysia, so tak payah nak ubah-ubah jam tu. Cuma disebabkan kedudukan Sulawesi tu hampir sama macam Sabah, jadi kat sini matahari terbit dan terbenam lebih awal. Sama macam Sabah juga.

Di luar balai ketibaan Bandara Hasanuddin, Makassar

Biasalah Ipin, dia je nak menang. Haha

Mbak Ana yang bertudung hijau


Di airport, kami bertemu lagi seorang pendaki, dari Indonesia. Ana namanya. Setelah semua selesai, kami 13 orang menaiki van menuju ke Hotel Paradiso di Makassar. Hotel Paradiso ni adalah hotel Reddoorz, sama konsep macam OYO di Malaysia.

Kak Mie, Mas dan Mbak Ana di luar Hotel Paradiso




Aku duduk sebilik dengan Jay, kawan aku yang sama-sama mendaki Gunung Damavand dulu. Lepas berehat kejap, jam 1330, kami semua keluar dari hotel untuk makan tengahari. Kebetulan, hotel kami bertentangan dengan sebuah shopping mall, Ipin ajak makan di shopping mall tu kononnya sejuk sikit sebab tadi  masa masuk hotel, dia dapat bilik yang aircondnya rosak. Terpusing-pusing dalam mall nak cari apa nak makan, last sekali, kami tuju ke kedai makan yang berada betul-betul di hadapan hotel kami. Aku makan nasi lauk ayam dengan ulam timun camtu kot. Boleh kata makanan diorang macam ala-ala ayam penyet/pecal lele/Wong Solo la. Jenis kering tak berkuah sangat. Aku ni baru kali kedua ke Indonesia, so tak sure apa makanan yang biasa di sini.

Rumah makan depan hotel kami tinggal. PC: Arif


Lepas makan, aku dan Jay balik tidur di hotel, yang lain pulak sibuk nak ke kedai outdoor, nak shopping sikit. Aku dah terlalu mengantuk dan letih sebab dah keluar dari rumah jam 2100 malam sebelumnya tu. Tidur pun lelap sekejap je kat KLIA2 tu. Bukan tidur sangat pun.

Petang, lebih kurang jam 1800, aku, Jay, Ipin, Kuyek, Abe, Arif dan Hani pergi makan seafood kat Ombak, Pantai Losari. Setting kedai makan dia menarik, siap pelantar dan seaview lagi. Makanan pun sedap dan tak mahal sangat. Malam tu lepas makan rasanya kebanyakannya tidur awal sebab terlalu letih dan esok pagi pulak kami akan bergerak awal menuju ke Dusun Karangan.

Sunset dari jeti Kafe Ombak
Di hadapan Kafe Ombak

Dari atas pelantar jeti Kafe Ombak. PC: Arif
Makan malam kami. PC: Arif


22 Jan 2020 (Rabu)

Jam 0430 aku dah bangun. Lagipun Subuh kat sana jam 0440. Kami bergerak on-time, jam 0600 dah bergerak meninggalkan hotel menuju Dusun Karangan dan kemudian kami berhenti untuk bersarapan di Pangkep. Di sini tak boleh expect sarapan macam di Malaysia. Sarapan nasi campur terus. Kat situ ada yang sarapan 'sop saudara', nasi dengan ayam bakar, ikan bakar. Sop 'saudara' tu macam sup campur lah. Daging campur organ dalaman. Aku makan nasi dengan ayam bakar. Cicah dengan kuah kacang/sambal kacang. Lebih kurang macam kuah sate.

Boleh nampak menu sup saudara di menu di dinding.

Sarapan pagi kami


Selesai sarapan, kami teruskan perjalanan. Sampailah van berhenti untuk memberi peluang kepada pendaki untuk ke tandas di sebuah stesen minyak. Aku tengok, stesen minyaknya tiada ruang beli barang/cashier. Cashier bertugas di pam sahaja. Tapi kira oklah sebab ada tandas dan surau tu.

Senibina rumah di sini. Aku ambil sewaku berhenti di stesen minyak. Perhatikan bahagian atap, kebanyakan rumah di sini ada bentuk begitu, seperti huruf X.


Kami melalui bandar Parepare, sebuah bandar di tepi laut dan juga muara sungai siap ada tulisan 'Torangeng Riverside' di tepi sungai. Bandar ni terletak lebih kurang 150km dari Makassar. Ini adalah bandar terakhir yang kami lalui.

Kami berhenti makan tenghari di Rumah Makan (RM) Sulis di Kotu, Desa Bambapuang, Kabupaten Enrekang pada jam 1315. Kat sini makan di tepi tebing bukit, menghadap Bukit Nona. View kat sini memang cantik. Kat kedai ini ada dijual makanan tradisi Bugis dan sayur-sayuran. Kat sini Kuyek membeli beberapa jenis sayuran untuk ration kami di atas gunung nanti.

Dari kiri: Arif, Abe, Hani, Mas

Dari kiri: Kak Jaja, P5, Arif

Dari kiri: Mas, Kuyek, Ipin

Bukit Nona

Kuih-muih tradisi Bugis

Baruasa, Kue Khas Bugis

Karasa, Kue Khas Bugis. Kuih karas kalau di Malaysia. Aku dah cuba, memang sama.

Kacang Sembunyi, Kue Khas Bugis. Macam popia sira tapi tak pedas sangat, dalamnya ada kacang.

Yang berbalut tu adalah wajik. Aku ada rasa yang P5 beli, hampir sama macam wajik di Malaysia

Cenderamata di RM Sulis

Rempah juga turut dijual

Rempah

Buah salak. Sini banyak buah salak. Aku yang bukan peminat buah salak pun suka rasa buah salak kat sini, macam kurang kelat berbanding Malaysia

Pelbagai sayuran dan buah-buahan

Kopi Toraja aka kotor

Patung hiasan. Biasa kita boleh nampak patung camni yang bersaiz penuh di kubur di Toraja


Kami tiba di Baraka pada jam 1530. 9 jam 30 minit perjalanan kami dari Kota Makassar ke pekan Baraka termasuk berhenti rehat. Jika ditolak berhenti rehat, mungkin 7 jam perjalanan.

Kuyek sekali lagi membeli beberapa lagi keperluan untuk ration dan setelah 4WD sampai, kami mengangkat barang-barang kami dan kami bertolak ke Dusun Karangan pada jam 1645hrs. Selepas meninggalkan pekan, kami disajikan dengan pemandangan padi huma dan kemudian kebun buah salak. Perjalanan kami ke atas kaki gunung kebanyakannya melalui kawasan kampung diselang seli dengan kawasan pertanian. Oh ya, bawang merah juga banyak ditanam di sini. Di bahagian atas, tanaman kopi pula semakin banyak ditanam.

Pasar Citra Baraka, tempat Kuyek mendapatkan bekalan makanan

Salah satu 4WD kami untuk ke Dusun Karangan. Di hadapan 4WD ada tong gas yang telah diisi dan dihantar/dijual ke kedai-kedai di perkampungan kaki Gunung Latimojong


Menyusun beg. Katanya boleh naik 15 orang, siap duduk kat bumbung, tapi kami tak sanggup. Jadi, kami minta lagi sebuah 4WD

Sebuah lagi 4WD

Ketua ekspidisi, Mas Kuyek, warga Pulau Buton :p

Kuyek turun lagi untuk beli kicap pulak diikuti rapat oleh Paman Ipin





Kami tiba di Dusun Karangan pada jam 1850. Masa tu, hari sudah gelap memandangkan di sana matahari terbenam awal, Maghrib lebih kurang jam 1825. Selepas mendaftar, kami di dibawa ke rumah Pak Simen (tak pasti ejaannya). Rumah ini kiranya lojing kepada pendaki-pendaki sebelum meneruskan pendakian ke unung Latimojong. Ada beberapa buah ruah lain yang dijadikan lojing, tetapi, rumah ini yang paling biasa. Boleh dilihat di dinding rumah, banyak stiker, banner, bendera yang ditampal atau digantung oleh pendaki sebelum ini. Ada sekeping banner kumpulan pendaki dari Terengganu juga turut ditampal di dinding.

Ni je gambar yang aku ada dalam rumah Pak Simen

Kawasan kampung dari rumah Pak Simen

Jiran Pak Simen

Dusun Karangan


23 Jan 2020 (Khamis)

Selepas solat Subuh, semua bersiap-siap untuk mulakan pendakian. Barang-barang yang tidak perlu dibawa naik, ditinggalkan di dalam bilik di rumah Pak Simen. Kononnya nak mula bergerak jam 0700 tapi Kuyek masih lagi mencari barang-barang keperluan untuk dibawa ke atas gunung. Disebabkan masa menunggu yang agak lama, Abe dan Ipin berusaha untuk menerbangkan drone. Ramai budak-budak yang menunggu untuk drone terbang tapi tak berjaya.

Ojek di Dusun Karangan


Jam 0840, kumpulan pertama seramai 9 orang menaiki ojek (motosikal) menuju ke Pos 1. Tinggal aku, Ipin Zen dan Jay yang menunggu di rumah Pak Simen. Disebabkan bosan menunggu, kami berjalan sedikit ke bawah. Tunggu lagi, ojek pun masih belum tiba, kami buat keputusan untuk berjalan kaki ke hadapan supaya ojek tu nanti tak perlu berpatah balik ke rumah yang mungkin bertambah masa. Semasa nak berjalan tu, kami ada bertanya kepada penduduk tempatan supaya kami tidak tersesat. Ada 2 je simpang sebelum kami bertemu dengan ojek. Simpang pertama: ambil terus, bukan ke kiri ada sebuah jambatan kayu. Di situ juga ada amaran kepada pendaki supaya tidak melalui jalan itu. Depan sikit dari simpang tu ada laluan di tengah-tengah kebun kopi. Simpang kedua: ambil terus, bukan ke kanan naik ke atas bukit.


Ni dia jambatan kayu yang aku cakap. Tapi ni gambar masa nak balik.


Kami ingatkan ojek menghantar kami ke Pos 1, rupanya tidak. Kami diturunkan di pertengahan jalan dan kami meneruskan perjalanan dengan berjakan kaki. Lebih kurang jam 1000, aku, Ipin, Jay dan Zen sampai di Pos 1. Di Pos 1, ada kedai yang menjual air dan makanan ringan serta mi segera. Boleh nak order air teh panas dan mi segera di sini.

Selepas berehat sebentar, kami meneruskan perdakian ke Pos 2. Pos 2 ni campsite nya kecil je. Kena lalu jambatan balak untuk seberang sungai. Gua di bawah batu besar, lebih kurang macam Gua Azan di Gunung Batu Puteh. Di sini ada air terjun dan nak mandi pun puas sangat. Tapi kami taklah mandi masa ni. Perjalanan mengambil masa 40 minit. Naik bukit sikit je, banyak turun dari Pos 1. 

Gua di sebelah kiri gambar


Masa yang diberikan tu adalah anggaran. Hampir semua pendaki team kami sampai separuh daripada masa maksimum 

Kolam ni taklah dalam sangat, tapi boleh la nak mandi



Dari Pos 2 ke Pos 3, kecuraman meningkat. Betul-betul sebelah batu besar tu ada laluan naik, terus mencanak. So, kaki dan tangan diperlukan untuk mendaki. Pendakian selama 30 minit. Pos 3 ada campsite yang sederhana besar, 10 orang mungkin boleh muat. Tapi kat sini tiada punca air.

Lama juga kami berehat sebab tunggu orang di belakang, jam 1300 baru kami bergerak ke Pos 4. Sama juga, 30 minit untuk sampai dan masih curam cuma tak securan dari Pos 2 ke 3. Pos 4 campsite nya besar sikit dari Pos 3 dan tiada punca air.

Yang ni betul punya rehat. 45 minit kami berehat di Pos 4. Kami bergerak semula pada jam 1415 dan tiba di Pos 5 pada jam 1520. Kami bermalam di Pos 5 sebelum mendaki ke puncak pada hari esoknya. Di Pos 5 ada punca air. Ada jeram lebih kurang 20 minit trekking. Tapi nak ke punca air, agak mencabar juga dengan kena panjat pokok tumbang sampai 3 kali, kena lalu lereng lagi...tapi bila sampai kat jeram, puas hati la...air deras cuma tak cukup besarlah untuk mandi-manda. Nak mandi kena bawa bekas sebagai gayung dan kena tahan sejuk.





Campsite Pos 5. Alas perut dulu dengan mi segera sebelum makan malam siap.
Hujan turun agak lebat pada malam tu, dari jam 1800 sampai la tengah malam. Khemah kami pun dah dimasuki air. 









24 Jan 2020 (Jumaat)

Pagi tu aku rasa aku yang paling awal bangun, dalam jam 0300. Lepas tu, masing-masing bangun dan bersiap-siap. Kuyek panaskan sup yang dimasak awal pada malam semalam untuk dijadikan bihun sup sebagai sarapan. Selepas semua siap bersarapan, kami bergerak menuju ke puncak pada jam 0435 dan tiba di Pos 6 pada jam 0510. Kami berhenti sekejap untuk menunaikan solat Subuh dan meneruskan perjalanan pada jam 0615. 

Selepas Pos 6, ada satu kawasan pokok berlumut, so kami berhenti kejap untuk mengambil gambar. Masa tu pun matahari dah terbit dan sudah cukup cahaya untuk mengambil gambar. Kira timing cantiklah tu.





Semakin mendaki dan keadaan semakin cerah, pemandangan yang cantik sudah mula terlihat. makin lama makin cantik sehingga kami tiba di bukit botak dan tidak tidak jauh dari situ, terletaknya Pos 7, ynag juga bukit botak yang boleh layan pemandangan. Campsite di Pos 7 terletak di sebelah bawah bukit botak tu, terlindung daripada angin. Di sini ada sumber air, di sebelah kiri campsite. Katanya air tak sejauh sumber air di Pos 5. Dari Pos 6 ke Pos 7, 45 minit pendakian.




Dari Pos 7, ambil laluan di sebelah kanan campsite untuk menuju ke puncak. Selepas 15 minit berjalan, kami melalui sebuah padang rumput/lumut yang sangat cantik. Lama juga kami berhenti untuk mengambil gambar. Selesai mengambil gambar, kami teruskan pendakian ke puncak. Aku orang yang pertama sampai, pada jam 0830. Cuaca cerah dan langit membiru. Arah timur puncak je yang dah dilitupi kabus. Selepas aku, Ipin dan Abe sampai dan seterusnya sampailah Mbak Ana yang tiba terakhir bersama Alief pada jam 1000. 





Selepas ambil gambar bersama-sama, kami bergerak turun pada jam 1015. Pada masa tu, kabus sudah pun memenuhi puncak. Tiada lagi pemandangan yang dapat dilihat. Turun ke Pos 7 semula hanya mengambil masa 45 minit, ke Pos 6 dari Pos 7 pula 35 minit dan Pos 6 ke Pos 5 adalah 25 minit. Kami tiba di campsite Pos 5 pada jam 1245. 

Rancangan awal, jika orang terakhir tiba di Pos 5 pada jam 1400, kami bercadang untuk turun dan bermalam di Pos 1. Ini disebabkan ada punca air (paip graviti) di situ dan kami tidak perlu terburu-buru untuk turun ke Dusun Karangan pada keesokan harinya. Apakan daya, orang yang terakhir tiba, sampai lebih dari jam 1500. Jadi kami bermalam sahaja di Pos 5 pada malam itu.


25 Jan 2020 (Sabtu)

Setelah bersiap dan bersarapan, kami bertolak turun ke Dusun Karangan pada jam 0545. Perjalanan turun dari Pos 4 ke Pos 2 sangat mencabar kerana trek yang sangat curam. Amat bahaya jika bergerak pada waktu malam. Masa yang diambil untuk aku turun ke Pos 2 dari Pos 5 adalah 2 jam. 




Aku mengambil peluang untuk sarapan makanan yang dibungkus dan mandi sementara orang lain sampai. Abe dan Arif dah mandi dulu sebelum aku join diorang. Tak boleh nak mandi sangat pun...air sejuk sangat. Selepas 20 minit, kami dalam 5-6 orang bergerak ke Pos 1 yang mengambil masa 50 minit. Masa yang diambil untuk keluar ke Pos 1 dari Pos 2 lebih sikit daripada masuk disebabkan lebih banyak mendaki dari turun. Rasa macam Pos 1 lebih tinggi daripada Pos 2.





Tiba di Pos 1, Abe dan yang lain order mi segera dan teh panas. Yang aku pulak tak bawa duit langsung, semua ditinggalkan di rumah tumpangan  terpaksa pinjam duit Abe. Satu kenikmatan dapat minum air teh panas. Bukannya tak dapat minum teh kat campsite tapi perasaan lain bila kita dah dapat keluar dari hutan. Ipin lagi la, siap buang air sungai lepas tu beli air mineral. Padahal sama je air. Dia beli serbuk minuman tenaga KukuBima (ala-ala extrajoss) sekotak, so aku mintak 1 untuk dibancuh dalam botol air aku. Fuh...air sungai sejuk campur perisa anggur...nikmat sungguh.

Kami bergerak turun ke Dusun Karangan pada jam 1000, tanpa menunggu Mbak Ana kerana Mbak Ana ditemani porter. Kami turun berjalan kaki sahaja, tidak menaiki ojek walaupun ada ojek yang menunggu di bawah. Kami rasa tak berbaloi untuk membayar 50,000 Rp dengan jarak perjalanan yang dekat. Hanya P5 sahaja yang naik ojek kerana kakinya dah sakit. Jalan turun pun perlahan je. 1 jam perjalanan dari Pos 1 ke Dusun Karangan. 

7 orang daripada kami; Ipin, Arif, Mas, Hani, Abe, Kak Mie dan Zen bergerak ke Baraka menaiki 4WD dahulu pada jam 1200 meninggalkan kami kerana Mbak Ana masih belum sampai di Dusun Karangan. Mbak Ana yang tiba bersama Alief di Dusun Karangan pada jam 1300 terus menaiki 4WD yang sudah menunggu. Alief juga turut serta menumpang untuk turun ke Baraka. Semasa perjalanan, hujan turun dengan lebatnya memaksa supir untuk memasang tarp/kanvas untuk melindungi beg dan kami yang berada di belakang daripada basah. Kami tiba di Masjid Ilham, Baraka pada jam 1445. Kami mandi dan solat di masjid sebelum bertolak ke Toraja Utara pada jam 1600.

Team yang turun dulu dari Dusun Karangan ke Baraka. PC: Arif





Habis bab gunung... Sekarang bab melancong pulak...

Kami tiba di Kota Makale, Tana Toraja (Kabupaten Tana Toraja) untuk makan malam pada jam 1820. Kami makan di sebuah rumah makan bersebelahan Masjid Raya Makale. Mungkin masjid daerah la kalau di Malaysia. Kat kedai makan ni, mungkin tipikal makanan di sini lauknya ikan/ ayam yang bakar/goreng. Ikan pun hampir sama je, ikan banteng atau ikan mas. Bukan ikan mas yang biasa kita pelihara tu.  Selepas solat dan makan,, kami bergerak ke Rantepao, Toraja Utara untuk bermalam di sana.

Memasuki Kabupaten Tana Toraja. PC: Arif


Penginapan kami pada malam tu



26 Jan 2020 (Ahad)

Kami berkumpul di bawah hotel pada jam 0700 untuk bersarapan dan melawat ke kawasan pelancongan. Kami bersarapan di RM Muslim Surabaya di mana kami bersarapa nasi kuning (nasi kuning je yang ada). rumah makan ni terletak tidak jauh dari Masjid Agung Rantepao. Selang beberapa buah kedai je dari masjid. Di sebelah masjid ada seorang pakcik menjual mi goreng di gerainya. Halal. 





Nasi kuning


Air kotor. Kopi Toraja






Dari situ, kami bergerak ke Ke'te Kesu'. Pada mulanya, kami bercadang untuk naik ke bukit yang ada Jesus Christ Blessing Statue tu tapi bila supir beritahu yang vannya tak boleh naik ke atas dan kami perlu menaiki Totoya Kijang (Unser) dengan bayaran lain, jadi kami membatalkan hasrat itu. Lagi pun, Kijang tu bukan sampai atas pun, kena naik tangga lagi. 

Objek Wisata Ke'te Kesu' ni kira tempat pelancongan lah. Pada asalnya, tempat ni adalah kampung orang Toraja. Dah takde orang tinggal di sini, ia dijadikan kawasan pelancongan. Kat belakang deretan 'tongkonan' (rumah orang Toraja, ada sebuah bukit yang dijadikan kubur orang dulu-dulu. Bolehlah tengok video kat bawah ni.



Kaunter tiket

Mayat disimpan dalam ni.

Ayam sabung.

Kopi Toraja

Kami berasa di Ke'te Kesu' selama 1 jam dan kami terus menghala ke Makassar. 

Di Parepare, menunggu van yang sedang dibaiki aircond

Sebelum kami check-in hotel Citadines di Makassar, boss getlost.asia belanja makan 'celebration dinner' dulu di RM 777 di Pangkep. Adalah order seafood dan beberapa lauk lagi. Tak berapa ingat.


'Celebration dinner' di Rumah Makan 777 di Pangkep


27 Jan 2020 (Isnin)

Pagi tu kami santai je. Ada yang bersarapan di hotel (bayar sendiri), ada yang nak berehat sahaja di dalam bilik. Dalam jam 1000 camtu, aku keluar dari bilik dan terserempak Abe dan Ipin yang nak ke Pantai Losari untuk menerbangkan drone nya. Dah sampai kat sana, lambat pulak nak setting drone, jadi aku berjalan-jalan seorang diri sambil tengokkan kedai yang jual barang cenderamata. Ada beberapa kedai cenderamata di Jalan Somba Opu tu. Jalan ni berada di belakang baris bangunan yang menghadap Pantai Losari. Aku beli t-shirt dan kopi toraja di situ. Masa di Ke'te Kesu' ada juga jual kopi tapi packing nya tak berapa cantik dan kemas. Jadi, tak berapa rasa nak beli sangat. Dah berjalan-jalan baru terasa lapar, jadi aku pergi ke kedai pisang goreng sebelah hotel yang budak-budak ni pergi malam semalam.







Selepas bersiap dan check-out, kami bergerak ke airport pada jam 1400. Memandangkan sampai kat sana kaunter check-in belum buka lagi, masing-masing makan tengahari dulu. Ada yang lepak Starbuck, ada yang ke KFC, aku pulak dengan Jay makan bakso Solo. Kapal terbang berlepas jam 1740 dan tiba pada jam 2025. Awal 20 minit dari jangkaan.


Makcik bawang bergosip di lobi hotel

Menunggu kaunter check-in dibuka


Ringkasan

Airport - Hotel (Makassar): 30 minit (van)
Makassar - Parepare: 3 jam
Parepare - tempat lunch hadap Bkt Nona: 2 jam 45 minit
Tempat lunch - Baraka: 1 jam
Baraka - Dusun Karangan: 2 jam (4WD)
Dusun Karangan - Pos 1: 1 jam 30 minit (naik motosikal dan jalan kaki)
Pos 1 - Pos 2: 40 min
Pos 2 - Pos 3: 30 min
Pos 3 - Pos 4: 30 minit
Pos 4 - Pos 5: 1 jam
Pos 5 - Pos 6: 40 minit
Pos 6 - Pos 7: 45 minit
Pos 7 - Puncak Rante Mario: 1 jam 15 minit
Puncak - Pos 7: 45 minit
Pos 7 - Pos 6: 35 minit
Pos 6 - Pos 5: 25 minit
Pos 5 - Pos 4: 30 minit
Pos 4 - Pos 3: 30 minit
Pos 3 - Pos 2: 30 minit
Pos 2 - Pos 1: 50 minit
Pos 1 - Dusun Karangan: 1 jam
Dusun Karangan - Baraka: 1 jam 45 minit
Baraka - Rantepao: 2 jam 30 minit
Rantepao - Makassar: 10 jam

Sekian.