Tuesday 29 March 2016

Gunung Datuk 19-20 Mac 2016

Trip kali ni aku kena jadi pegawai pengiring dan guide. Dah dua kali pegi, cuma dah agak lama tak ke Gunung Datuk. Nasib ada student yang baru je pegi, so boleh la double confirm. Sebenarnya, wife aku yang jadi pegawai pengiring sebab dia penasihat sebuah kelab ni kat UiTM Jasin. Tapi memandangkan aku pernah naik Gunung Datuk, secara automatik aku kena jadi pegawai pengiring merangkap guide. Kiranya ni adalah camping trip pertama untuk kami sekeluarga.

Gunung Datuk ni adalah gunung pertama yang aku daki. Masa tu tahun 1999. Masih belajar kat matriks lagi. Ikut kawan (Fais Yap) punya kawan dari Batu Gajah, Perak. Antara nama yang aku ingat lagi adalah Cyborg (sebok) dan Aditya.

19/3/2016 (Sabtu)
Bergerak keluar dari rumah lepas solat zohor dalam pukul 2 petang. Aku bergerak ke Tesco Cheng dulu untuk cari barang-barang. Nak ke Tesco Peringgit, sah-sah jammed pasal cuti sekolah. Melaka ni super-jammed time cuti sekolah ni. Orang luar datang Melaka untuk bercuti. Aku memang nak beli sebuah khemah, untuk kegunaan sendiri. Lagipun, khemah yang dibekalkan nanti agak besar dan susah nak pasang. Khemah Coleman tapi bukan jenis dome.
Khemah macam ni ha. Susah nak pasang. Jenis Coleman
Selain khemah, aku beli juga gas memasak jenis tabung panjang tu, mi segera dan sedikit kudapan untuk dikunyah masa kat campsite nanti. Lepas je makan tengahari, aku tinggalkan wife dan anak kat foodcourt untuk cari barang-barang yang aku rancang nak beli.

Selesai beli barang, aku bergerak ke arah Rembau ikut AMJ, lalu kat bulatan tol Simpang Ampat sampai ke simpang di Kendong, Rembau. Lepas belok kiri kat simpang tadi, drive 3km sampai ada simpang belok kanan ke Gunung Datuk. Drive lagi 4km, jumpa simpang ke Gunung Datuk. Jalan masuk ke dalam ni sempit. Boleh lalu 1 kereta je. Kalau selisih kereta dari depan, kena la bagi jalan sikit. Bas boleh masuk, tapi separuh jalan je la. Lepas dari tu jalan mendaki bukit dan berselekoh. Tak sesuai untuk dilalui oleh bas. Lagipun ada papantanda yang tak bagi bas masuk ke dalam. Kami sampai di parkir/ basecamp Gunung Datuk pada pukul 4.30 petang.

Kalau dari arah Alor Gajah/Tampin, kena belok kanan ke Kg. Gadong. Signboard pun jelas
Korang nampak tak keris kek tongah tu. Tu la dio tugu Gunung Datuk nia..lupo lak nak amik gamba kek dopan dio

Dah sampai tu bersiap la pasang khemah ape bagai. Aku pasang khemah dome untuk family aku. Lepas tu tolong Helmi pasang hammock dan flysheet. Dalam pukul 6.30 petang, aku nak ke kereta untuk ambil barang. Ternampak sebuah ambulans JPAM dan sebuah ambulans Hospital Tampin. Diberitahu seorang pendaki meninggal dunia semasa turun dari Gunung Datuk. Masa tu tak tau lagi siapa. Malam tu baru tau yang dia adalah junior aku,  Alumni Mozac SPM 2007. Borak-borak sambil layan anak aku, pukul 12 malam baru nak tido. Konon nak tido awal sebab esok pagi nak start trekking awal.

20/3/2016 (Ahad)
Aku bangun pukul 5.45 pagi. Bukan boleh tidur sangat pun. Panas sangat tidur dalam khemah. Biasa tidur bawah flysheet je. Lepas solat, aku siap-siap tukar baju trekking aku. Baju rasmi trekking. Baju nike hitam lengan panjang dan seluar cargo quickdry. Kasut aku pakai New Balance model All Terrain.

Amirul dan Zara yang baru bangun

Setelah sarapan, kami melakukan sedikit regangan. Jumlah peserta adalah seramai 27 orang iaitu 14 lelaki dan 13 oraang perempuan. 2 orang staf ikut sekali. Aku dan Helmi.

Peserta mendaki
Kami bergerak pada pukul 7.45 pagi, bermula di starting point iaitu di pondok permit mendaki Gunung Datuk. Bayaran sebanyak RM5 seorang dikenakan.

Ucapan selamat datang


Pondok permit mendaki. Kena tulis nama dulu sebelum naik. Yang datang berkumpulan, lagi baik bawa senarai ahli kumpulan. 
Laluan ke puncak Gunung Datuk
Dekat sejam trekking baru sampai kat campsite tengah. Yelah, ramai yang tak biasa mendaki, dan mungkin ramai juga yang tak biasa buat aktiviti sukan/lasak ni. Disebabkan ramai yang berhenti ikut suka, aku tak tunggu pun diorang kat campsite tengah tu. aku tunggu depan sikit. Kalau berhenti tadi, mesti ramai yang berhenti pasal tempat tu rata dan luas.

Campsite tengah. Luas dan rata. Siap ada bangku lagi
Aku sampai di campsite puncak pada pukul 9.50 pagi dan yang terakhir sampai pada pukul 10.30. 2 jam hingga 2 jam setengah  masa diperlukan untuk mendaki. Ni kira rate biasa la ni kot. Kalau kumpulan kecil, rasanya boleh sampai dalam masa sejam setengah. Bila semua dah sampai, baru aku bagi briefing keselamatan semasa menaiki tangga dan di puncak batu. Dan bagi masa siap-siap, pukul 11.15 kena turun.

Campsite puncak

Aku dan Helmi
Tanpa buang masa, aku terus je naik puncak batu tu sampai atas. Dalam grup tu, aku yang pertama sampai. Yang lain ntah buang masa kat bawah. Mungkin diorang tak tau yang kat atas ni view sangat cantik.

Jerebu pulak. View tak berapa cantik.
Data dari Gunung Online, tinggi Gunung Datuk adalah 884m
Tingkat 2 dari tingkat 3 puncak batu. Total 3 tingkat. Semua ada tangga untuk naik/turun untuk keselamatan. Kalau gayat tu memang ambil masa jugak nak turun. Seram. Haha

Dah puas bergambar, aku pun turun dari puncak batu tu dalam pukul 11.15. Ikut masa yang aku dah bagi kat student. Ada 2 orang student tak naik dah tunggu kat bawah. 5-10 minit lepas tu baru student turun ramai-ramai. Tapi tak semua. Jadi aku cadang yang mana ada turun dulu. Grup pertama seramai 15 orang turun pada jam 11.30 dan grup kedua seramai 12 orang turun pukul 12.15. Grup pertama sampai dalam pukul 1.00  manakala orang yang terakhir sampai pada pukul 1.50 petang.

Lepas sampai kat basecamp, aku mandi dan solat. Makan tengahari pun lewat. Yelah, sampai pun dah pukul berapa. Sebenarnya aku dari masa nak turun tu dah lapar. Padahal ada gak aku makan biskut masa kat campsite puncak tadi. Lepas makan, kami berkemas dan balik semula ke Jasin dalam pukul 4.30 petang.

Pukul 3.20 baru lunch bersama Helmi dan wife aku


Nota:
Bayaran RM5 seorang dikenakan untuk tapak khemah.

Wednesday 16 March 2016

Gua Batu Maloi


Gua Batu Maloi, Johol, Negeri Sembilan
13 Mac 2016
Peserta: Aku, Zul, Hafidz, Hafifi, Helmi, Asrol, Albin, Asri, Intan, Ummu (10 orang)
Keperluan khas: headlamp
Lagi bagus kalau ada: action camera siap dengan waterproof casing (gopro/sj4000)



Bangun punyalah awal, pukul 4.30 pagi. Mandi lepas tu masak air untuk buat kopi. Kena juga minum kopi pasal mata masih rabak lagi. Tidur pun pukul 11.00 malam. Kira lambat lah tu sebab nak bangun pukul 4.30 pagi.

Pukul 5.10 baru bergerak dari rumah. Sampai dekat UiTM Jasin dalam pukul 5.25. Semua dah ada kecuali Hafifi. Asri pula akan tunggu kat tol Simpang Ampat je. Bila semua dah sampai, kami carpool je naik 3 buah kereta. Kereta Helmi, Asrol dan Ummu. Kami bergerak dalam pukul 6.35 camtu la.

Kami ikut hiway masuk kat tol Jasin dan berhenti di RnR Ayer Keroh jam 6.05 pagi untuk solat Subuh dan sarapan. Lepas sarapan, kami teruskan perjalanan dan keluar di Tol Simpang Ampat pada jam 7.10 pagi. Asri dah siap menunggu kami di bulatan depan tol tu dan kami terus ke arah Tampin sehingga ke Air Mawang. Kami tiba di pintu masuk Gua Batu Maloi pada jam 8.00 pagi.

Kami menunggu kumpulan-kumpulan lain dari KL dan beberapa tempat lain. Kira program ni gabungan kumpulan-kumpulan kecil yang akhirnya jadi besar. Jumlah keseluruhan peserta adalah 61 orang. Setelah semua sampai, taklimat disampaikan oleh guide dan diikuti dengan regangan badan. Kemudian, Helmi dengan sukarelanya tampil ke depan (ada kawan dah petik nama dia. Haha) apabila guide tadi yang memerlukan seorang pembaca doa.

Kami bergerak menuju ke dalam hutan pada jam lebih kurang 9.00 pagi. Baru je mula trekking, dah kena meranduk air. Sejuk plak tu. Layan je lah. Lagi pun memang dah tau dalam gua nanti memang akan basah punya pasal ikut laluan air. Kami diketuai oleh seorang wanita, kira pangkat akak la walaupun nama panggilannya adalah Mami.

Sambil-sambil trekking tu, dia cerita la serba sedikit pasal gua ni. Ada 24 checkpoint (wow). Aku pun macam terkejut. Jauh sangat ke sampai 24 checkpoint ni. Naik gunung pun tak sebanyak ni checkpointnya melainkan checkpoint buatan sendiri pasal dah tak larat. Haha.

Senang cerita, kat dalam gua tu macam-macam aksi kena buat dari checkpoint 1 sampai 24. Merangkak, menonggeng, terkangkang, terkepit, menyelit, berenang dan lain-lain semata-mata nak lepaskan lubang-lubang antara batu-batu gua tu. Untuk yang fleksibel macam aku (haha), senang-senang je. Orang Melaka cakap "andau-andau" je. Dalam banyak-banyak lubang yang nak kena lepas, ada satu celahan batu tu dekat hujung-hujung gua tu memang paling susah sebab sempit. Tapi itu semua teknik. Disebabkan 2 orang depan aku tak lepas, jadi aku dah tau ape yang perlu dibuat. Buat sekali je dah lepas. 

Kami melepasi kesemua 24 checkpoint tersebut pada pukul 12.30 tengahari. Memandangkan kami mendaki bukit semasa di dalam gua, masa balik, kami hanya berjalan menuruni bukit dan masa yang diambil hanyalah 10-15 minit je. Punyalah berpusing-pusing masa dalam gua tadi sambil tunggu turn nak menyelit kat celah batu dan berehat menunggu orang di belakang yang ambil masa 3 jam setengah, masa turun punyalah kejap.

Sampai di tempat letak kereta, kami membersihkan badan di sungai bersebelahan. Sungai tu sebenarnya tak dalam pada asalnya tapi disebabkan diempang, air mencecah paras dada aku juga la di beberapa tempat.

Dah siap tukar baju, kami bergerak ke masjid berhampiran untuk solat Zuhur. Lepas solat, kami bergerak ke Medan Selera Sri Kendong, jalan nak ke Rembau. Depan sikit je dari simpang 3 T yang pecah nak ke Tampin dan Rembau kalau kita dari Alor Gajah. Konon nak makan daging salai masak lemak cili api. Tapi kami kecewa kerana lauk tersebut dah habis. Yelah, sampai pun dah pukul 3. Jadi, kami makan je lah apa lauk yang ada. Dalam pukul 4.00 petang, kami bergerak pulang ke Jasin. Masa balik cuma tinggal 2 buah kereta je sebab Ummu terus ke KL kerana ada urusan. Tiba di UiTM Jasin pada pukul 5.00 petang dan masing-masing pulang ke rumah selepas itu.

Kat mana pun aku tak tau

Gua Perahu. Batu berbentuk perahu.

Ni dah dekat hujung-hujung gua dah ni.
Semua gambar adalah hasil dari kamera orang lain. Aku punya handphone dah simpan siap dah plastik ziplock. Pasal trip ni trip basah, memang susah la untuk aku ambil gambar. Malas punya pasal. Jadi, post kali ni gambar tak banyak le. 

Nota:
Bayaran guide dan permit: RM25
Jarak Gua Batu Maloi dari: Tampin - 15.6km, Gemencheh - 32.1km, Kuala Pilah - 31.7km

Aku rasa group ni terlalu besar. Tak best nak ambil gambar dan nak tanya macam-macam kat guide. Mungkin kena pergi lagi sekali. Korang pun boleh cuba. Aktiviti mencabar fizikal dan mental tapi tak penat sangat la. Rilek-rilek je.









Friday 11 March 2016

SOLO RIDE SEMENANJUNG MALAYSIA 2016



Tarikh: 6 – 11 Februari 2016 (6 hari 5 malam)
Hari: Sabtu – Khamis
Kenderaan: Motosikal Honda Wave 100

Persediaan:

Masa plan nak Solo Ride ni, aku baca blog-blog, fb dan google maps untuk dapatkan maklumat. Semua maklumat tu aku letak dalam fail excel. Aku pilih excel sebab senang nak kira jarak. Aku kira-kira, purata sehari aku akan bawa moto sejauh 360km. Ada jugak yang lebih. Cuma itu had yang aku reka sendiri pasal aku rasa kelajuan purata aku hanya 60km/j. Jadi, aku bawa moto tu dalam 6 jam la kalau jarak 360km. Tayar moto tukar tubeless, tukar minyak hitam dan tukar spark plug. Beli juga cargo net dan set tampal tayar tubeless. Pelayar ambil je dari toolbox. Pam kecil (hand pump untuk basikal) aku pinjam adik aku punya. Botol air pun bawa. Refill je nanti.
Ni je barang yang aku bawa. Baju sikit dan sleeping bag kat dalam dry bag

Botol yang aku guna. Senang nak minum masa traffic light merah


Hari pertama: 6 Februari 2016 (Sabtu)

Aku bangun awal hari ni pasal aku plan nak mula bergerak jam 7 pagi, tapi memandangkan masih ada peralatan yang belum disediakan dan hari pun masih agak gelap, aku tukar plan untuk gerak pada jam 7.30 pagi. Selepas siap semua, akhirnya aku bergerak keluar dari rumah pada jam 7.40 pagi.

Odometer permulaan
Aku bergerak ke starting point, iaitu Gemencheh. Aku pilih Gemencheh kerana FT1 melalui pekan ini dan pekan ini yang paling hampir dengan rumah aku di Sg. Rambai, Melaka. Perjalanan melalui tempat-tempat yang aku belum pernah lalui sebelum ini seperti  Felda Kemendor dan Batang Melaka. Tiba di Gemencheh lebih kurang sejam selepas bertolak. Pekan Gemencheh ni pun aku belum pernah sampai lagi. Ini kali pertama. Tiba di persimpangan di pekan Gemencheh, aku belok ke kiri ke arah Tampin. Belok ke kanan adalah jalan menuju ke Gemas.

Simpang di Gemencheh dari arah Batang Melaka

Pekan Gemencheh besar juga rupanya. Tak seperti yang aku gambarkan.  Dalam setengah jam, aku tiba di pekan Tampin. Isi minyak moto dan botol di Petronas Tampin sebelum bergerak ke Seremban.
Signboard memasuki pekan Tampin

  Ha…kat bandar Seremban ni la aku mula keliru dengan antara jalan bandar dengan FT1. Itu aku memang dah jangka. Aku ikut tanda arah ke Mantin sampailah di satu simpang berdekatan dengan tol Seremban/PD. Aku dah tak berapa yakin dengan jalan, aku bertanya arah dengan seorang penunggang moto kat sebelah. Dia cakap nak pergi Mantin jalan terus je. Lepas je simpang tu, aku berhenti untuk semak jalan guna Google Maps. Memang betul jalan yang aku lalu ni memang boleh ke Mantin, tapi bukan jalan FT1. Jadi aku pun patah balik dah cari jalan FT1 semula untuk ke Mantin. Jalan agak sibuk di pekan Mantin. Mungkin ramai yang pulang ke kampung kerana cuti panjang. Pertama kali aku sampai ke pekan Mantin. Sebuah pekan kecil. Lepas tu aku teruskan perjalanan, sehinggalah melalui Kolej Tuanku Ja’afar (KTJ).  Kolej ni dah biasa pergi masa main dengan Kelab Ragbi NS Wanderers dulu. Di sinilah home ground nya.
Meneruskan perjalanan lagi melalui pekan Beranang dan Semenyih. Pekan Semenyih ni pun dah biasa sampai zaman mendaki Bukit Broga. Lepas Semenyih, terus ke bandar Kajang. Sampai di depan IPD Kajang, aku belok ke kanan untuk kekal dalam FT1. Dari Kajang, aku terus ke Selayang melalui Cheras dan KL. Tiba di Selayang, aku singgah untuk makan tengahari di Nota Café, kafe milik Ismed, kawan sekolah aku. Masa lunch tu, Ismed, Rizwan dan Cukis pun ada join sekali lepak borak bersama.
*update - Nota Cafe telah pun ditutup.

Nota Cafe, Selayang
Cukis, Ismed (tokey Nota Cafe) dan Rizwan. Semua ni ex-schoolmate aku
Gambar yang Rizwan ambil kat depan Nota Cafe
Kat depan kafe

Lepak punya lama, sampai kafe tadi pukul 12 tengahari, pukul 1.30 petang baru nak gerak semula. Sempat pulak Ismed suruh hantar dia dulu ke rumah yang hanya 5 minit dari kafe.
Jalan mula sesak di kawasan persimpangan lebuhraya LATAR hingga ke pekan Rawang. Orang balik CNY agaknya. Selepas Rawang, jalan lengang hingga ke Tg. Malim. Ingat nak ambil gambar kat gate UPSI, tapi macam malas pulak.
Petronas Behrang 2020
Dari Behrang lagi dah hujan gerimis tapi malas nak pakai baju hujan. Dah kat Slim River baru pakai baju hujan pasal hujan semakin lebat. Aku teruskan perjalanan dalam hujan dan dalam keadaan jalan yang dah mula sesak. Sesak pasal orang Ipoh dah mula balik ke kampung dan ada eksiden pulak tu. Tapi yang geramnya tu, eksiden jalan sebelah, yang jalan sebelah sini pun nak sesak.

Petronas Tapah
Hujan sepanjang jalan sampai la ke Gopeng. Itu pun langit masih gelap. Aku masih lagi pakai baju hujan walaupun tak hujan lagi. Takut – takut hujan balik kat depan. Memang betul pun…memang kejap gerimis kejap kering sampai la Ipoh.

Sampai di Ipoh, aku nak cari UiTM Kampus Bandar Ipoh (UiTM Ipoh), tapi tak jumpa papantanda. Jadi aku cari la masjid negeri (aku agak- agak je mulanya pasal biasa ibu negeri ada masjid negeri) untuk solat. Berpandukan papantanda, aku sampai la ke masjid negeri dalam pukul 6 petang untuk solat jamak. Siap je solat, tengah berehat, hujan lebat turun. Ingatkan nak gerak cari UiTM Ipoh, terpaksa batalkan dan lepas solat maghrib baru hujan berhenti. 
Masjid Sultan Idris Shah II. Masjid Negeri Perak
Lepas je maghrib, aku isi minyak moto aku dengan minyak yang ada dalam botol dan terus bergerak cari UiTM Ipoh yang mengambil masa 15 – 20 minit. Ada la terpusing – pusing sikit dalam bandar tu pasal jalan sehala, tapi pasal naik moto, senang je la nak pusing. Sampai je kat UiTM tu, aku makan dulu kat kedai mamak betul – betul depan UiTM. Dah habis makan, baru aku masuk ke dalam UiTM tu. UiTM Ipoh ni hanya untuk kelas PJJ. Kelas pun hari Sabtu dan Ahad je. Lot kedai je pun UiTM Ipoh ni. Hari pertama ni, aku tumpang tidur di sini.

Nota:
Sg. Rambai – Gemencheh – Ipoh
Jarak: 417km
Kos minyak: 7.60 (Tampin) + 5.00 (Semenyih) + 5.00 (Tg. Malim) = 17.60


Hari kedua: 7 Februari 2016 (Ahad)

Lepas mandi dan solat, aku  bersiap – siap dan terus turun ke moto untuk bergerak. Plan nak gerak pukul 7 pagi, tapi aku tengok hari pun masih gelap lagi, aku pegi minum kopi dulu kat kedai mamak depan. Aku malas nak makan pasal plan nak sarapan kat Kuala Kangsar. Pukul 7.30 pagi, hari pun dah terang sikit, aku pun bergerak ke Kuala Kangsar.

Dah sampai Kuala Kangsar, aku plan nak ambil gambar banyak – banyak pasal Kuala Kangsar adalah bandar Diraja Perak. Masjid Ubudiah, Istana Iskandar, dan Muzium Diraja Perak antara yang aku ambil gambar. Tapi semua aku ambil dari luar je la.
Bulatan Kuala Kangsar



Masjid Ubudiah dari pelbagai sudut



Istana Iskandariah. Istananya hanya boleh nampak kubah je dari sini



Muzium Diraja Perak

Galeri Sultan Azlan Shah


Sungai Perak

Sekolah Menengah Clifford

MCKK

 Lepas dah ambil gambar, aku cari stesen minyak dan seterusnya cari kedai nak sarapan. Disebabkan aku tak pasti berapa lama aku akan sampai ke Butterworth, aku makan berat sikit. Nasi goreng dengan dengan telur mata kerbau.

Dah siap makan, aku bergerak ke Butterworth melalui Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar. Keadaan jalan di kawasan Taiping sangat teruk. Kalau ada 5 lubang kecil yang berdekatan kat atas jalan tu, ditampalnya 5 kali jugak. Bukannya tampal satu tampalan besar. Masalahnya, jalan tu dah banyak kali rosak. Tampal atas tampal atas tampal. Aku rasa korang dapat bayangkan macam mana.

Sampai Butterworth dah tengahari, dalam pukul 12 lebih. Memandangkan aku pun belum lapar, aku pun sambung jalan menuju ke Sg. Petani.
Butterworth. KM 0

Masa nak ke Sg. Petani, aku lalu airport TUDM. Oh, selama ni selalu dengar tapi tak pernah lalu. Lepas je airport tu, angina bertiup kencang. Dari kanan dan hadapan. Kalau angin dari kanan secara tiba – tiba, agak bahaya juga. Kena pegang handle kuat – kuat. Kalau angin dari hadapan, pulas minyak penuh pun moto cuma bergerak 60km/j. Memang angin betul – betul kuat.

Jambatan sempadan Pulau Pinang - Kedah

Bila dan masuk area Sg. Petani, angin dan beransur reda. Mungkin pasal dah banyak pokok – pokok. Sempat berhenti di Bandar sg petani untuk ambil gambar menara jam. Berhenti kejap lepas tu terus jalan ke Bedong untuk lunch. Aku lunch kat mee rebus yang sedap pada aku. Mee abu bedong. Tempat ni kira nostalgia juga la buat aku. Dulu – dulu selalu ke sini untuk lunch masa aku tinggal di taman kawasan Bedong ni.

Mee Abu Bedong
Pekan Bedong, Kedah
Dari Bedong, aku bergerak ke Alor Setar. Berhenti ambil gambar kat kaki Gunung Jerai dulu...

Kaki Gunung Jerai di Yan, Kedah
Singgah solat kejap di Masjid Zahir, Alor Setar. Masjid lama ni. Tengok tahun bila ia dibina.

Masjid Zahir, Alor Setar

Dibina pada tahun 1912

Selesai solat, aku ke Bukit Kayu Hitam. Untuk melengkapkan laluan FT1 yang hujung sebelah utaranya adalah di sini.
Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam
Kalau ikutkan, dah lengkap dah ride aku untuk hari ni, tapi aku kena singgah juga ke Changloon untuk menghadiri majlis kenduri kahwin anak 'menaka' kawan aku. Dah dijemput dan memang lalu pun. Kena la singgah. Makan nasi kandaq. Sedap. Kata kawan aku ni, nasi kandaq ni kira femes la kat sini. Oh, ini kampung isteri dia. Kampung dia dekat dengan kampung aku tu kat Pagoh, Muar.

Bersama Lansa kat kenduri kahwin anak 'menakan' dia
Dah kenyang makan, Sambung lagi sikit ke Arau untuk bermalam.

UiTM (Perlis), Arau
Lepas Isyak, aku keluar makan malam dengan Shap dan Eja kat Capati Arau. Dah nama kedai pun capati, aku makan capai le... Masa kat kedai ni, Eja tanya aku dlm dialek nogori 'apo kau nak buek ni soi?' Aku jawab la 'aku melancong la. Cuma org lain naik kete, aku naik moto'.
Bersama Shap di Capati Arau


Nota:
Ipoh – Bkt. Kayu Hitam – Arau 
Jarak: 353km
Kos minyak: 5.00 (K. Kangsar) + 5.00 (Bkt Minyak) + 4.60 (Tandop, A. Star) = 14.60



Hari ketiga: 8 Februari 2016 (Isnin)

Aku bangun pukul 6 pagi. Mandi, solat dan bersiap untuk bergerak ke destinasi seterusnya. Aku tak sarapan pasal dah plan nak sarapan dengan Wanter kat Bedong, Sg. Petani. Wanter ni kawan sekolah aku dan kami pernah duduk satu taman di Bedong ni selama 2 tahun. Bertolak pada pukul 7.15 pagi, aku ikut jalan Kodiang – Jitra dan lepas tu terus masuk hiway dan keluar kat tol Gurun. Sampai Bedong pukul 9 pagi dan sarapan dengan Wanter lebih kurang sejam.

Arau Bandar Diraja
Gunung Jerai nu....
Modenas Gurun

Lepas dah sarapan, aku isi minyak dulu kat Shell Bedong. Botol pun aku isi sebab perjalanan agak jauh dan aku tak biasa dengan jalan tu. Angin hari ni memang cukup kuat, macam semalam. Aku terus je jalan sampai ke Gerik. Di antara Kupang dan Gerik tu, jalan turun-naik bukit, berselekoh siap. Masa naik bukit tu, aku tengok speed moto aku cuma 40km/j je. Memang perlahan. Wave aku tak larat naik bukit. Sampai kat Gerik, aku cari stesen minyak. Lepas isi minyak, aku makan roti dan minum air soya dulu. Rasa lapar pulak. Lagi pun konon nak lunch kat Hentian Titiwangsa. Masa dari Gerik nak ke Pulau Banding, ada kemalangan. Aku rasa superbike terbabas. Insaf kejap aku nak bawa moto laju-laju. Padahal moto aku bukan laju mana! Hahaha.

Moto aku...kecik je banding dengan yang belakang tu


Sekitar Hentian Titiwangsa, Lebuhraya Timur-Barat
Ingat nak makan nasi, tapi lauk aku tengok tak semenggah je. Takde selera pulak aku. Aku cuma makan kuih pau je 2 biji. Ramai juga mat moto kat hentian ni. Dari moto cub sampai le ke superbike. Aku ingat rehat dalam setengah jam je lepas tu aku bergerak ke Jeli. Mata turun banjaran tu, ada 2 kemalangan, satu tu kereta dengan kereta bertembung, yang lagi satu aku rasa superbike terbabas.

Setibanya di Jeli, aku terpaksa berhenti untuk memakai baju hujan. Hujan turun agak lebat. Masa berhenti tu lah aku tengok jam. Baru pukul 3.

Kat Jeli
Masa ni, aku berkira – kira untuk meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang. Setelah selesai membuat panggilan untuk tempat tinggal di Rantau Panjang, aku sambung perjalanan aku. Depan je sikit dari tempat tadi, hujan dah reda. Gerimis je. Tapi disebabkan malas nak buka baju hujan, aku teruskan je perjalanan sampai ke Rantau Panjang ikut Panglima Bayu.

Memasuki Rantau Panjang
Sampai je rantau Panjang, aku cari masjid dulu untuk solat. Lepas tu aku telefon kawan aku, Fezul, yang sedang bercuti di rumah bapa mertuanya. Dia datang jemput aku kat masjid dan bawa aku ke bengkel motosikal sebab moto dah tiba masa untuk diservis. Jarak dari Sg. Rambai ke Rantau Panjang ni 1000km lebih. Memang patut pun kena servis. Masa pomen cek moto aku dan nak tegangkan rantai, dia perasan sprocket dan rantai dah mula haus. Dia cadangkan untuk tukar. Aku bersetuju. Kat sini baru aku sedar supaya lebih baik tukar sebelum memulakan perjalanan kalau kita sendiri tak ingat bila kali terakhir kita tukar sprocket dan rantai. Ni kira dah nazak juga ni.. Alhamdulillah tak jadi apa-apa masa tengah jalan. Sementara nak tunggu moto siap diservis, Fezul bawa aku makan mee celup dan bawa bersiar-siar di sekitar pekan Rantau Panjang. Kali terakhir pergi tahun 2000. Masa tu main ragbi untuk UIA dalam Sirkit Liga MASUM yang diadakan di USM Kubang Kerian.

Fezul sediakan sebuah bilik sewa milik bapa mertuanya untuk aku. Bila ditanya tentang bayaran, dia kata ‘takpe, aku belanja’. Terima kasih Fezul. Malam tu bapa mertua Fezul ajak makan malam di rumah. Makan nasi arab. Sedap juga orang Kelantan masak nasi arab. Hehehe.


Servis moto di Rantau Panjang

This is Anfield. Eh, This is Rantau Panjang
KM 0 Rantau Panjang

Nota:
Arau – Sg. Petani – Jeli – Rantau Panjang
Jarak: 382km
Kos minyak: 4.00 (arau) + 8.00 (Bedong) + 5.20 (Gerik) = 17.20


Hari keempat: 9 Februari 2016 (Selasa)

Pagi – pagi lagi aku dah bersiap untuk bertolak. Bukan apa, dah cadang untuk sarapan dengan Centong di Kota Bharu. Cuma sempat ucap terima kasih kepada bapa mertua Fezul je.  Aku bertolak pada pukul 7 pagi, dan mencari stesen minyak terdekat.  Dalm pukul 8, aku dah sampai di Kota Bharu. Centong ajak sarapan di area Stadium Sultan Muhammad ke-IV. Pada waktu itu, stadium tersebut sedang dicat warna merah jambu. Bila tengok balik, takde la pink sangat. Macam purple sikit pun ada.

Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu
Sarapan bersama Centong kat sebelah stadium
Lepas sarapan lebih kurang sejam, aku terus bergerak ke destinasi seterusnya. Selepas Pasir Puteh, kereta semakin banyak di jalan raya. Ini memang aku dah agak sebab hari ni adalah hari terakhir cuti Tahun Baru Cina.

Pasir Puteh. Ni ke yang katanya kilang jelitawan tu? 
Kereta memang banyak sampai ke kawasan Permaisuri. Hari ni, aku rasa pertama kali aku nyanyi masa bawa moto. Bkn nyanyi, nasyid sebenarnya. “Bermusafir, berkelana, luaskan pandangan saujana…”. Part korus tu je aku nyanyi. Lepas aku cek balik, nasyid tu bertajuk Bermusafir oleh Nadamurni. Nasyid lama ni.

Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu
Aku berhenti untuk makan tengahari di Pantai Batu Buruk. Sempat juga berjumpa junior zaman sekolah dulu, Firdaus aka Boroi. Lama jugak aku berhenti makan/lepak/borak di situ. Dekat sejam setengah juga. Aku tau perjalanan untuk ke Dungun tidak berapa jauh. Lepas tu aku solat jamak di Masjid Sultanah Zanariah aka Masjid Terapung. Masa nak masuk masjid ingat nak ambil gambar. Tapi ingat nak ambil selepas solat je. Habis je solat, terus je keluar dan naik moto tinggal tempat tu. Takde gambar la nampaknya.

Jeti Pulau Kapas, Marang. Pernah sampai sini tahun 2010
Pulau Kapas dari pantai kawasan Marang
Semasa ke Dungun, berhenti di Pantai Rantau Abang. Ombak punya lah kuat. Angin pun laju. Memang seronok duduk tepi laut lepak – lepak macam ni. Sambil lepak – lepak tu, berborak dengan seorang pelajar kolej di Pasir Mas yang dalam perjalanan ke Kuantan. Praktikal katanya. Dia ada la tanya sikit – sikit, last – last aku beritahu dia yang aku sedang buat Solo Ride Semenanjung Malaysia. Teruja dan cakap dia pun teringin nak buat macam aku juga. Siap ambil nombor telefon. Tapi setakat ni takde pulak dia telefon/mesej.


Pantai di Rantau Abang
Sampai di UiTM Dungun jam 4 petang. Memang aku dah jangka akan sampai awal. Petang tu dapat la merasa sotong celup tepung. Dulu tahun 2013 pernah dah rasa sotong celup tepung ni. Tu yang teringin nak makan lagi sekali.

Makan sotong celup tepung bersama Nazri
 Malam tu aku mengantuk sangat. Tertidur awal. Tak keluar makan malam pun. Takde pun lapar sangat pasal petang tu dah makan sikit.

Di hadapan UiTM Dungun

Nota:
Rantau Panjang – Dungun
Jarak: 288km
Kos minyak: 5.00 (Rantau Panjang) + 5.30 (Permaisuri) + 4.00 (dungun) = 14.30


Hari kelima: 10 Februari 2016 (Rabu)

Pukul 7 pagi lagi aku dah bergerak keluar dari UiTM Dungun. Kena cari sarapan sebab dah mula lapar. Keluar je ke jalan besar,moto aku di potong oleh puluhan penunggang moto yang berpakaian coverall yang hendak pergi ke tempat kerja. Pengalaman yang menarik. Dulu – dulu masa jadi mat kilang di Shah Alam pun takde suasana macam ni. Cari punya cari, aku ternampak kedai makan sarapan di Paka. Aku berminat nak makan  nasi lemak dan ikan. Aku pun pesanlah satu. Bila tiba je nasi lemak tu, aku rasa macam tak cukup je bahan – bahannya. Aku pun pesan telur mata kerbau untuk bagi selera sikit. Dah sudah makan baru la kawan – kawan kat fb kata orang sana sarapan nasi minyak. Tadi macam ada nampak nasi minyak kat menu. Tapi orang selatan makan nasi minyak biasa tengahari. Itu pun biasa kenduri kahwin je hidang. Rugi tak rasa.

Nasi lemak ikan ayer
Dalam perjalanan ke Kuantan, aku ada berhenti sejekap di Pantai Kemasik dan pantai Teluk Mak Nik untuk tengok pemandangan. Pantai ke berlainan tapi ombak tetap besar.



Pantai Kenasik

Lepas je Chendering, dekat dengan simpang bertingkat yang nak ke Jabor, boleh Nampak dah kita sampai di Kuantan. Senang je nak tau. Jalan berwarna merah akibat debu bauksit. Haha. Di kawasan perindustrian Gebeng, lopak besar, besar gila kat dengah – tengah jalan. Bukan satu, tapi ada la 2 – 3 lubang. Kereta mengelak siap ambil side untuk mengelak. Kalau tengah laju ni…mau melambung.

Petronas Balok Makmur, dekat2 Gebeng
Sampai di Kuantan, berhenti lepak kejap dengan Paid dan Najib kat kedai kopi. Minum – minum dan makan ringan je. Tak rasa nak makan berat pasal dah makan nasi lemak tadi di Paka. Lepak agak lama juga di sini. Dalam sejam setengah jugak kot. Masa nak ke Pekan tu, Paid ni kejar dan ajak bergambar. Haha.

Paid kejar aku sebab lupa nak bergambar tadi
Tadi masa kat kedai tak teringin pun nak ambil gambar. Aku lagi la, hp tak keluarkan langsung masa berborak.
Lalu di kawasan Pekan, ada nampak Muzium Sultan Abu Bakar. Aku tengok je. Malas pulak nak ambil gambar. Lagi pun orang ramai pulak yang lepak – lepak kat kawasan tu. Segan pulak aku. Hahaha.
Sebelum tiba Nenasi, aku tengok minyak moto aku dah masuk ke paras rendah. Alhamdulillah, ada papantanda Caltex 15 km di hadapan. Aku berhenti di Caltex tu untuk isi minyak. Masa nak turun moto tu, aku dapati fork lock aku dah longgar. Getah penyendal dah hilang. Ada part dari fork lock tu dah bergesel pun dengan sport rim moto aku. Ooo…pasal ni la ada aku dengar bunyi pelik dari depan. Aku cuba tanggalkan fork lock tu guna allen key. Tak boleh. Dah karat teruk. Last – last aku cuba nak ikat je fork lock tu, biar ia tak bergerak. Tapi takde apa yang aku boleh buat untuk mengikat. Aku tanya kat akak Caltex tu pasal cable tie. Ada. Bagus. Boleh la aku selesaikan masalah untuk buat sementara.

Getah forklock tercabut. Ikat pakai cable tie je. Kat Caltex Nenasi
Ok. Masalah dah selesai dan aku terus ke Leban Chondong. Biras ada ajak singgah rumah dia. Bila telefon, dia dah bergerak ke Muar. Takpe lah. Takde rezeki nak jumpa. Ada berhenti kejap di bandar Kuala Rompin ambil gambar tugu ikan layaran.

Tugu ikan layaran, bandar Kuala Rompin
Masa nak bergerak ke Tg. Gemuk, hujan pulak. Berhenti di hentian bas untuk pakai baju hujan. Ingat nak makan kat pekan Endau, tapi disebabkan tak nampak kedai makan yang buka waktu itu dan aku pulak malas nak berhenti kedai makan nak buka baju hujan, aku terus je ke Mersing. Hujan je sepanjang nak ke Mersing. Sampai  je Mersing, aku cari Embassy Hotel. Hotel bajet yang kawan aku bookingkan. Dia belanja. Masuk bilik, buka baju hujan dan letak barang, aku turun ke bawah semula untuk makan.
Dah berapa kali aku sampai Mersing ni, belum dapat lagi aku nak solat kat masjid Bandar Mersing. Masjid atas bukit.  Jadi, sebelum aku makan malam, aku singgah untuk solat di sana. Cantik masjid tu. Aku makan malam di kawasan medan selera sebelah sungai di Mersing tu. Tak tau apa nama medan selera tu.

Jeti Mersing. Tempat naik feri ke Tioman. Aku dah biasa datang sini
Masjid Bandar Mersing
Ruang dalam Masjid Bandar Mersing
Jambatan yang merentangi sungai Mersing dari arah medan selera

Nota:
Dungun – Mersing
Jarak: 342km
Kos minyak: 5.20 (Balok Makmur) + 5.00 (Nenasi) = 10.20


Hari keenam: 11 Februari 2016 (Khamis)

Hari terakhir. Ikutkan kiraan aku, hari ni adalah perjalanan yang paling jauh. Jadi aku solat subuh kat masjid, sarapan dan bergerak jam 7 pagi. Masih gelap, tapi sudah terang sedikit di kawasan Jemaluang. Aku terus je jalan sampai la satu kawasan yang mempunyai tanda jalan ‘jalan berliku’. Depan sikit je ada papantanda ‘kawasan ujikaji papantanda selekoh’. Aku pun macam kagum jugak, rupanya papantanda pun ada kawasan ujikaji. Bagus juga. Bukan main hentam je pacak papantanda. Bezanya papantanda selekoh di sini, anak panahnya berwarna kuning pantul cahaya dan tepinya warna hitam. Kebiasaan yang kita tengok adalah anak panah warna hitam, tepinya yang kuning pantul cahaya.
Tiba masa untuk mengisi minyak di Kota Tinggi. Kena masuk ke bandar untuk isi minyak. Sempat la ambil gambar kat depan Muzium Kota Tinggi. Nak ambil gambar tulisan Kota Tinggi kat simpang empat tu takut tak jelas. Pasal jauh sangat.
Muzium Kota Tinggi
Dalam 40 minit, aku dah sampai di Johor Bahru. Niat hati nak cari batu tanda KM 0. Tapi tak jumpa. Tapi jumpa la stesen keretapi Bukit Cagar. Tulis kat atas bangunan tu muzium KTM. Bila tanya, tak buka lagi rupanya. Pusing – pusing di kawasan sekitar sekejap, lepas tu terus je jalan nak menghala ke Danga Bay. Zarifi aka Kewak ajak lepak. Bila dah dekat, telefon tak angkat pula. Aku terus je naik moto sampai la UTM Skudai Pintu Senai. Ni pintu belakang. Masa berhenti ambil gambar tu Kewak telefon. Dia ajak lepak kat Kulai pasal dia nak jumpa orang di Saleng. Saleng ni tempat di antara Senai dan Kulai.
*update - siapa-siapa nak cari KM 0 kat JB, cari Pejabat Pos JB. Ada kat bertentangan pejabat pos. Aku baru dapat info orang share.


Di pintu belakang UTM, Skudai
Dah siap makan di Kulai, aku terus je gerak menuju ke arah Simpang Renggam. Isi minyak dan jalan semula sampai Air Hitam. Ala..yang femes pasu dan kerepek tu...aku lalu je la. Mana boleh nak beli barang dengan moto camni.

Memasuki Air Hitam
Dari Ayer Hitam, aku ke arah Chaah. Masa dalam perjalanan, jumpa Desa Temu Jodoh di Chaah. Unik nama kampung ni.

Masjid Desa Temu Jodoh, Chaah
Petronas Chaah
Memasuki pekan Labis
Berhenti isi minyak lepas tu terus ke Segamat. Singgah rumah akak aku dulu kat Bandar Putra (Bandar IOI). Minum dan rehat je. Lepas tu terus gerak ke Gemas. 

Pekan Gemas

Aku masuk ke pusing-pusing kat dalam pekan Gemas tu. Aku ternampak signboard Stesen Keretapi Gemas. Bangunan lama (kayu) nampaknya masih kekal. Aku rasa semua stesen keretapi dalam Malaysia (pantai barat) sudah dinaiktaraf kepada stesen yang lebih besar dan selesa.


Stesen keretapi lama Gemas. Di sebelah kiri signboard biru tu stesen baru (tiada dalam gambar)
Berhenti kejap kat Memorial Gemas. 






Tugu peringatan
Sambung lagi perjalanan ke Gemencheh. Sampai  Gemencheh kira dah lengkap la satu pusingan Semenanjung Malaysia. Tapi aku kena jugak habiskan sampai ke rumah pasal selagi belum sampai rumah, kira belum selamat tiba ke destinasi. Haha. 


Memasuki pekan Gemencheh
Sampai di rumah di Sg Rambai dalam jam 6 petang. Itu pun dah siap makan pisang goreng di Kg. Lipat Kajang.

Odometer akhir

Nota:
Mersing – Johor Bahru – Gemencheh – Sg. Rambai
Jarak: 469km
Kos minyak: 5.20 (Mersing) + 4.00 (kota Tinggi) + 4.00 (Bkt. batu) + 4.00 (Chaah) + 4.50 (Gemencheh) = 21.7
Jarak keseluruhan: 2222km (odometer)
Kos keseluruhan: RM 282 (minyak RM 95.6, sprocket+rantai+minyak 4T RM 53, makan dan lain-lain RM133.4) *tiada kos penginapan 
Laluan utama: Laluan  Persekutan 1 (FT1), Laluan  Persekutan 4 (FT4): Lebuhraya Timur – Barat, Laluan  Persekutan 1 (FT3)

https://ms.wikipedia.org/wiki/Laluan_Persekutuan_Malaysia_1
https://ms.wikipedia.org/wiki/Laluan_Persekutuan_Malaysia_3
https://ms.wikipedia.org/wiki/Lebuhraya_Timur-Barat

Jalan – jalan lain: FT194, FT176, E1/AH1, FT67 dan FT196

Secara peribadi, aku dapat rasakan yang kembara naik moto ni lagi puas walau pun memenatkan. Yang paling best bila view kita tak dihalang. Tak macam naik kereta yang pemandangan hadapan yang terhad. Pulak tu kedudukan kita yang lebih tinggi dari kereta, pun satu kelebihan jugak. Dan yang paling utama adalah kalau salah jalan, senang nak buat u-turn. Hahahaha.

Sekian.