Sunday 7 October 2018

Ride & Camp Lubuk Beruk dan Air Terjun Pelangi, Sg. Lembing 29 - 30 September 2018

PC: Pok Deng

Kali ni, aku ride ke Sungai Lembing untuk Ride & Camp. Destinasinya adalah Lubuk Beruk dan Air Terjun Pelangi. Seramai 15 orang yang ikut trip ni. 8 orang berkumpul di RV1 iaitu di BHP Lebuhraya Karak. Mereka adalah Pok Deng, Hashim, Pidot, Jimms, Kasko, Jezz, Tom dan Ikhwan. Yang diorang ni ride ikut jalan dalam tepian Sg. Pahang.

Cikgu Joe dan 5 riders dari Singapura iaitu Jalil, Ross, Saini, Sani Boy dan Khai berkumpul terus di RV2 iaitu di Restoran Hijau Gambang. Cikgu Joe dari Seri Iskandar melalui Gohtong Jaya manakala riders Singapura melalui Segamat dan Muadzam Shah. Aku juga berkumpul di RV2 walaupun pada asalnya aku nak terus berkumpul di RV3 iaitu di rumah Mr. Tang.


29 September 2018

Hari ni, aku bangun lambat sikit, pukul 6 pagi, tak macam ride pergi Ulu Perdak haritu. Pukul 6.30 pagi dah gerak. Semua barang aku dah siapkan dan letak dalam kereta. Bukan apa, kalau susun kat ruang tamu, mau kena selongkar dengan anak - anak aku. Lepas siap sarapan dan sidai baju, aku mulakan perjalanan jam 7.15 pagi.

Kalau sebelum ni aku gunakan jalan Felda Palong untuk ke Muadzam Shah, kali ni aku ikut Segamat. Saja aku ikut jalan lain. Pelbagai. Lagi pun, jalan Felda Palong tu kurang sesuai untuk moto aku ni. Susah nak potong lori sebab jalan yang berselekoh dan berbukit - bukit.

Jadi, aku pilih jalan ni untuk ke Petronas Tmn Yayasan, Segamat:

Jln Kesang Tasek M112
Jln Bkt Gambir J33
Jln Parit Kasan J138 - Jln alternatif ke Sagil (skip Bandar Tangkak)
Jln Muar - Segamat FT 23
Jln Tasek Alai J153 - Jln alternatif ke Kuantan (skip Bandar Segamat)
Jln Buloh Kasap FT 1

Jln Muar - Segamat di antara Air Terjun Gunung Ledang sehingga Jementah sedang dalam pembinaan. Banyak lencongan. Jadi kelajuan pun kuranglah. Lepas ni kalau dah siap jalan tu, 4 lorong jadinya. Bolehlah laju sikit. Lepas Jementah, jalan masih berkabus. Sejuk dan nyaman. Kawasan situ pun banyak bukit - bukit dan hutan. Tiba di Petronas Tmn Yayasan dalam jam 8.30 pagi, aku isi minyak moto dan tong spare. Lepas siap, terus aku bergerak ke Muadzam Shah (FT 12).

Sampai je Muadzam Shah dalam jam 9.40 pagi, aku terus isi minyak. Masa nak keluar dari stesen minyak tu, aku perasan tayar belakang aku nampak macam kurang angin. Terus aku ke pam untuk tambah angin. Masa nak pam tu aku tengok tekanan tayar rendah sangat. 100kPa. Semalam aku pam 200kPA. Mesti ada yang bocor ni. Jadi, masa aku rehat minum tu aku tanya pekedai kat mana bengkel moto terdekat.

Bila diperiksa, rupanya angin keluar kat tempat tampalan bocor yang lama. Apa boleh buat, kena la pasang tiub kat dalam tayar. Nak tukar tayar pulak rugi sebab tayar masih ada bunga dan masih elok. Memandangkan dah ada kat bengkel moto, aku tukar sekali spark plug sebab rasa tersenggut-senggut masa aku bawak full throttle tadi. 40 minit masa terbuang di bengkel. Dalam jam 10.50 pagi aku bergerak ke Gambang.

Sesampainya aku di Restoran Hijau Gambang pada jam 11.50 pagi, aku call kawan aku, Kert untuk lepak bersama. Sebelum kert sampai, adik ipar Pok Deng iaitu Cikgu Joe tiba dengan moto Versys 650. Dia nampak aku duduk kat serambi kedai terus je lambai ke aku. Bila aku tanya camne boleh tau, dia kata "Siapa lagi yang bawak Honda Wave lepas tu siap ada beg ikat kat moto. Mesti takde orang lain punyalah". Sejurus lepas tu, Kert sampai.

Bersama Kert di Restoran Hijau Gambang

Abg Khai berselfie






Lebih kurang jam 12.30 tengahari, rombongan moto besar dari KL dan Singapura sampai. Park sebelah moto aku. Terus tak nampak moto aku sebab kena keliling moto besar. Lepas dah makan tengahari, aku gerak awal sikit daripada yang lain dalam jam 1.00 petang memandangkan moto aku paling slow. Dari Gambang, aku lalu Felda Panching untuk ke Sg Lembing (1490 dan FT 231). Aku tiba di Sg. Lembing jam 1.50 petang dan rombongan moto besar sampai dalam 10 -15 minit lepas aku sampai.

Pintu gebang Pekan Sg. Lembing

Pokok ni berada di depan 3D Gallery


Ikhwan sedang mengisi borang untuk permit. 1 borang untuk 6 orang.

Di hadapan kedai/rumah Mr. Tang

Abg Saini di hadapan kedai/rumah Mr. Tang

Semua riders perlu mendaftar dan membayar permit sebanyak RM13 di rumah Mr Tang. Ia bertujuan untuk pemuliharaan dan kawalan bilangan orang masuk ke Lubuk Beruk dan kawasan yang menjadi tumpuan, Air Terjun Pelangi. Pok Deng menyerahkan lesen memandunya sebagai deposit kunci palang laluan ke Lubuk Beruk. Senang je nak cari rumah Mr. Tang ni. Rumah dia betul - betul sebelah 3D Gallery Sg. Lembing.

Dalam jam 2.30 petang, kami dah bergerak ke Lubuk Beruk melalui Jalan Jeram Akar. Lebih kurang 1km sahaja jalan ini berturap. Selebihnya jalan batu kerikil dan tanah merah sehingga ke Xcape Resort sejauh 8km. Di sinilah adanya palang berkunci. Semasa kami sampai, palang tersebut tidak berkunci. Mungkin ada yang masuk tidak mengunci kembali. Mengikut arahan Mr. Tang, palang tersebut perlu dikunci sentiasa agar tiada kenderaan yang tiada permit dapat masuk ke dalam hutan simpan ini.

Jambatan yang merentasi Sg. Kenau

Dari Xcape Resort, 8km lagi jalan off road perlu ditempuh. Kali ini lebih mencabar dah 4 batang anak sungai perlu dilintas. Ada je yang terjatuh sebaik sahaja melintas anak sungai. Dengan semangat kental dan bantuan rakan - rakan, kami meneruskan perjalanan tanpa sebarang masalah serius hingga ke Lubuk Beruk. Kami tiba di sana dalam jam 3.45 petang. Disebabkan campsite nya terlalu terbuka tanpa ada pokok, kami cuba mencari campsite lain. Tetapi tidak berjaya. Jadi kami berkhemah di tepi sungai bersebelahan jambatan yang menghubung trek ke Air Terjun Pelangi. Kecuali aku dan Jezz yang memasang hammock di bawah jambatan, yang lain memasang khemah berhampiran di antara satu sama lain.

Hashim meredah sungai

Pidot meredah air
Abg Saini terjatuh semasa naik bukit sejurus merentas sungai

Selesai je masing-masing memasang khemah, kami mandi dan makan malam. Makan malam sendiri-sendiri je. Ada yang bungkus nasi masa lunch kat Gambang tadi, ada yang makan mi segera. Aku pulak makan nasi segera. Nasi Arab Ayam Kabshah kalau tak silap. Cuma perlu panaskan je pek dia dengan air panas. Pok Deng yang dari tadi mengumpul kayu api sudah menghidupkan unggun api sebelum hari menjadi gelap. Selepas solat Maghrib, Abg Jalil dan Jezz sibuk memanggang BBQ bersebelahan unggun api. Ada daging kambing The Shepherd, daging lembu home marinade dan daging ayam marinade Aeon.






Malam tu berborak-borak dan berkenal-kenalan dengan rakan riders yang lain. Pok Deng je yang aku memang dah kenal. Yang lain semua baru jumpa. Paling menarik aku berkenalan dengan orang Boyan/Bawean Singapura. Sebelum ni cuma pernah dengar je perkataan Boyan tu. Kali ni berjumpa depan-depan. Orang Singapura ni (5 orang semuanya) semua ramah-ramah. Dalam jam 11 malam, masing-masing masuk tidur kat khemah masing-masing.


30 September 2018

Aku bangun jam 6.00 pagi. Ramai juga yang dah bangun. Lepas solat Subuh, aku terus kemas hammock dan barang-barang aku memandangkan aku tidur bawah jambatan. Bukan apa, macam tak elok pula sebab orang akan lalu lalang kawasan tu. Aku bersarapan mi segera dan kopi sahaja. Mi segera sebungkus aku kongsi dengan Jezz sebab dia tertinggal bahan masak.

Jezz, Jimms dan Abg Jalil sedang bersarapan

Dari kiri: Pidot, Joe, Hashim, Tom dan Kasko
Khemah Jimms


Tempat tidur aku dan Jezz, bawah jambatan


Jam 7.30 pagi kami bergerak ke Air Terjun Pelangi. Treknya ditanda dengan jelas. Mula-mula trek berbatu-batu kemudian trek hutan dan sebelum sampai air terjun, trek melalui batuan besar dan melintas beberapa kali aliran air terjun kecil.

Jambatan untuk ke Air Terjun Pelangi


Trek ke Air Terjun Pelangi


Pelangi dah muncul

Kami mengambil masa 30 minit je untuk sampai ke air terjun. Pelangi belum terbentuk kerana cahaya matahari dihalang oleh bukit. Selepas 15 minit barulah pelangi terbentuk. Kolam air terjun tak sedalam mana. Rasanya paling dalam paras paha aku je. Tapi yang uniknya, udang-udang kecil datang ke kaki sambil menyepit-menyepit perlahan kaki kita. Orang kata macam fish spa. Aku pun tak pasti sebab tak pernah cuba.

Setelah mandi-manda dalam 30 minit, dan pengunjung lain pun tiba, kami pun bergerak pulang ke campsite. Perjalanan balik ke campsite juga mengambil masa 30 minit. Aku dan Pok Deng je yang sampai, yang lain tertinggal belakang. Ada yang saja-saja berjalan perlahan. Ada juga yang mandi semula di kolam yang terletak di bahagian bawah.

Khemah dah dikemas dan riders semua dan ready nak bergerak keluar



Sampai je aku kat campsite, aku terus bersiap-siap. Lebih kurang jam 10.15 pagi, kami meninggalkan campsite. Dengan matahari semakin naik dan campsite yang tiada sebarang pokok, terlalu panas untuk berada di situ lebih lama. Perjalaan off road semasa keluar agak cepat juga. Mungkin kerana kurang mendaki dan peserta sudah lebih bersedia. Cuma dalam mencari tempat bergambar di atas bukit, Pok Deng tersalah simpang dan Abg Khai hampir berlanggar dengan penduduk kampung.


Berehat di Anjung Selera Sg. Lembing

Jam 11.30 pagi kami dah berada semula di Pekan Sg. Lembing. Pok Deng memulangkan semula kunci palang manakala yang lain semua bergerak ke medan selera. Selepas masing-masing mengisi perut, kami bergerak pulang kecuali riders dari Singapura yang masih lagi berbual-bual. Aku ke Gambang untuk berjumpa dengan Kert untuk mengambil barang dan menyambung semula perjalanan pada jam 2.00 petang. Hanya berhenti untuk mengisi minyak, aku menunggang secara terus hingga ke Segamat dan menikmati lempeng di Ngeteh Port Cafe & Dessert, Tmn Yayasan Segamat. Suasana restoran ni agak menarik dan ramai juga pelanggan sedang minum petang.

Moto Jezz atas jambatan lama Sg. Kenau. Background: Jambatan baru


Setelah berehat sebentar, aku teruskan perjalanan pulang ke Melaka melalui Jalan Jementah - Asahan. Jalan ni jalan baru melalui Ladang Welch. Jalan agak sunyi dan malam mesti gelap disebabkan tiada langsung lampu jalan. Jalannya agak berselekoh tetapi tidak setajam selekoh di jalan Sagil - Jementah. Jarak dari simpang Jementah hingga ke rumah aku di Sungai Rambai sejauh 66km (odometer) berbanding 55km sahaja jika mengikut Sagil (google maps). Aku tiba di rumah tepat jam 6.30 petang.


Minyak RM 34.90
Jarak: 285km road + 8km off road. Total = 586km
Riders:
1) Asoi Wave100
2) Kasko Y15
3) Jezz FZ150
4) Pok Deng Versys 650
5) Tom Versys 650
6) Pidot Versys 650
7) Cikgu Joe Versys 650
8) Hashim Versys 650
9) Ikhwan Versys 650
10) Jimms F800GS
11) Ross Vstrom 1000
12) Sani Boy Vstrom 1000
13) Jalil CB400X
14) Saini NC700
15) Khai R1200GS

Untuk blog Pok Deng bagi trip kali ni, korang klik sini. Lebih detail siap ada GPS point.