Friday 6 October 2017

MENDAKI BUKIT MOR, MUAR (1 OKTOBER 2017)

1 Oktober 2017

Setelah mendapatkan maklumat daripada sepupu aku, Ayu, aku pun naiklah Bukit Mor ni dengan anak sulung aku, Amirul. Umur dia 6 tahun. 1st time dia hiking bukit ni. Aku memang ada plan nak ajak dia naik Bukit Beruang kat Melaka tu tapi masa selalu tak kena dan jarak dari rumah aku jauh sikit la. Bukit Mor ni kat Parit Jawa, Muar. Dekat je dengan rumah mak mertua aku, dalam 10km je.

GPS starting point: 1.982373, 102.669223

Ni kaki bukit. Permulaan trek.
Gambar atas ni adalah permulaan trek mendaki. Dalam 5 minit berjalan dari tepi jalan yang kena lalu kebun kelapa sawit dan jalannya masih landai. Kat sini ada trek kiri dan kanan. Aku ambil yang kanan. Kemudian kat atas nanti ada simpang lagi, aku ambil kanan juga. Kat simpang kedua nilah nanti masa turun aku keluar dari trek sebelah kiri. Selain dari tu, aku cuma berpandukan anak panah yang di cat pada batang pokok.

Masa untuk mendaki sampai ke puncak (aku rasa puncak) dalam 40 minit je ikut pace anak aku. Mendaki pun santai. Anak aku pun tak penat mana pun tapi selalu mintak air sebab haus. Cuma masa kat atas tu, aku tak jumpa tempat yang boleh tengok tasik/lombong tu. Aku pernah tengok gambar Ayu yang latarbelakang tasik/lombong tu.

Disebabkan aku bawa anak, kenalah bawa sikit bekal iaitu air Ribena, coklat dan roti untuk dia. Kalau ikutkan aku, bawa air masak pun dah cukup untuk trek macam ni.

Total masa naik - turun aku tak ingat berapa lama, tapi aku anggarkan dalam sejam setengah je termasuk rehat (aku start hiking pkl 9, keluar semula dalam 10 lebih).

Amirul sedang mendaki


Rehat kejap

Dari sini boleh nampak pekan Parit Jawa dan Selat Melaka
Jadi, siapa - siapa yang dekat dan baru nak berjinak - jinak untuk hiking, bolehlah hiking bukit ni. Mudah dan santai je cuma kalau tak pernah pergi, pergilah secara berkumpulan. Kalau dah biasa/berpengalaman tu, takpelah hiking sorang - sorang. Dan lagi 1 pesanan, kalau hiking petang tu, bawalah headlamp/lampu suluh. Kot la terlajak masa nak turun dan hari dah gelap.

Thursday 5 October 2017

GUNUNG BENUM VIA LATA BEREMBUN 15 - 17 SEPTEMBER 2017





14 Sep 2017 (Khamis)

Aku bergerak dari Lendu jam 8.20 malam dengan menaiki kereta kancil Hilmi ke Stesen LRT Gombak. Tiba di sana dalam jam 10.30 malam. Lepak makan sambil menunggu peserta yang lain sampai.


15 Sep 2017 (Jumaat)

Setiap kereta yang bertolak dari Gombak ditetapkan penumpangnya. Aku, Amir dan Anum menumpang kereta Vios Hasan. Kami bergerak dari Gombak dalam jam 12.30 pagi dan berhenti minum sekejap di bandar Raub. Kami tiba di Masjid Kg Sg Chalit pada jam 2.00 pagi. Aku dan Amir terus je masuk masjid dan tidur. Kena tidur wei...esoknya kena jalan jauh. Lagi pun dah puas menyembang tadi dalam kereta.

Lepas solat Subuh, masing - masing bersiap dengan pakaian trekking dan bersarapan di kedai makan di sebelah belakang masjid. Kami juga bungkus makanan untuk makan tengahari kami di situ.

Jam 8.20 pagi, powil (4WD) tiba di perkarangan masjid. Lepas letak beg, kami bergerak menaiki powil dari Masjid Kg Sg Chalit ke Lata Berembun pada jam 8.40 pagi. Ada 4 powil kesemua untuk 25 orang peserta. Tiba di Lata Berembun jam 9.20 pagi (50 minit perjalanan). Perjalanan menaiki powil memang mencabar. Banyak aksi kat dalam powil tu. Berdiri, duduk, mencangkung, semua kena buat disebabkan jalan offroad yang agak lasak.

Ready to rumble
Powil
Dari atas jambatan, atas powil
Ni baru mula...


Sampainya di Lata Berembun, masing - masing menggalas beg dan menuju ke sebatang sungai. Kami perlu melintas sungai tersebut (sekali je lintas sungai) dan kemudian mengisi bekas air (3L minimum untuk masak tak termasuk air minum sendiri) kerana sungai inilah 'last water point' (LWP). Kira - kira jam 10.30 pagi kami mula mendaki. Kami berhenti di Kem Puncak Permatang untuk berhenti rehat dan makan tengahari pada jam 2.00 petang dan sambung pendakian selepas sejam berehat. Kami tiba di Kem Dingin pada jam 6.00 petang. Kem Dingin memang sangat dingin. Kena pada namanya. Masing - masing memakai baju sejuk/wind breaker untuk mengurangkan kesejukan walaupun waktu itu baru menunjukkan jam 6.30 petang. Setelah makan malam dan borak - borak sambil makan kuaci, aku masuk tidur jam 10.00 malam. Tidur awal pasal nak bangun awal esok paginya.

Kem Dingin - masak makan malam


16 Sep 2017 (Sabtu - Hari Malaysia!) 

Aku bangun jam 4.00 pagi. Katanya nak trekking ke puncak jam 5.00 pagi tapi disebabkan chef masih belum siap masak sarapan dan makan tengahari, akhirnya kami bergerak ke puncak jam 5.50 pagi. Trekking dalam 25 minit untuk ke puncak pertama, kami berhenti solat Subuh. Nak solat kat Kem Dingin tadi macam tak sesuai memandangkan ramai dah siap pakai kasut dan masa tu pun baru saja masuk waktu. Seingat aku jam 6.40 pagi kami dah selesai solat dan mula mendaki. Kami berhenti untuk sarapan dalam jam 7.15 pagi kerana ada yang dah lapar. Kang lapar kang tak larat pulak nak mendaki. Kami berhenti sarapan dalam 1/2 jam.

Sarapan


 Lepas tu mulalah episod turun dan naik yang tak berkesudahan dan berhenti rehat pun aku dah tak dapat kira berapa kali dah. Kami jumpa cacing gergasi. Tengok video ni.


Periuk kera gergasi


Tengok video lumut pada pokok dan periuk kera ni.



Aku tiba di puncak jam 1.00 tengahari. Yang paling awal sampai puncak pun aku dah tak tanya. Memang barai pasal aku tak cukup fit. Kami berehat, makan tengahari dan ambil gambar ramai - ramai di atas puncak sebelum bergerak ke Kem Dingin semula pada jam 2.50 petang. Rehat lama bukan apa...pasal kami tunggu semua sampai di puncak. Yang last sampai jam 2.00 petang kot. Tapi memang seksa jugak menunggu kat puncak sebab angin sejuk.

Sejuk woi kat puncak. Siap masuk dalam emergency bag
Lunch kat puncak
Dah ready nak turun dari puncak. Dari sini boleh nampak Genting Highlands

Selain daripada 3 orang yang gerak awal ke Kem Dingin untuk memasak, kami semua tiba serentak di Kem dingin jam 9.50 malam. Kami gunakan strategi 'keretapi' di mana yang perlahan di depan dan semua peserta lain menunda di belakang bermula dari puncak sampailah ke campsite. Tapi kami tetap ceria dan tiada sorang pun yang pewai dan mental semasa jalan pulang dari puncak walaupun menunda.

Makan malam


17 Sep 2017 (Ahad)

Pagi ni aku nampak ramai yang bangun awal. Lepas solat Subuh pun takde yang nak sambung tidur lagi walaupun pada hari semalamnya trekking 14 jam. Sarapan pagi ni roti sardin gulung dengan air teh - O. Lepas sarapan masing - masing mengemas barang dan peralatan dan bergerak turun pada jam 10.30 pagi.

Puncak Benum dari Bonsai semasa turun (puncak yang kiri)
Kura-kura bukit


Kami tiba di sungai di Lata berenbum pada jam 2.10 petang. sambil menunggu yang lain tiba, aku mencuci kasut dan seluar secara ala kadar, hanya untuk membuang lumpur - lumpur yang melekat semasa naik dan turun dari puncak.

Setelah semua tiba di sungai, kami bergerak ke powil yang sudah sedia menunggu. Selepas meletakkan beg, semua peserta bergerak ke Lata Berembun yang terletak 5 minit dari tempat powil berada. Sampainya di sana, aku makan packed lunch yang dibekalkan dan kemudian mandi. Lata Berembun ni memang cantik cuma arus agak deras di kawasan kolam. Yang tak pandai berenang cuma mandi - manda di kawasan cetek je lah.

Lata Berembun


Semua dan settle mandi, semua naik ke powil pilihan masing - masing. Ramai berebut nak naik powil warna merah (Jeep Wrangler rasanya) yang ada turbo. Kami bergerak ke Masjid Kg Sg Chalit pada  3.40 petang dan tiba di sana pada jam 4.20 petang. Korang boleh tengok video ni.



Setelah membersihkan diri dan menukar pakaian, kami beredar dari kawasan masjid dalam jam 5.00 petang. Memandangkan tak semua akan pulang ke Gombak, kami makan di Awiera Tomyam, Raub. sambil - sambil makan tu biasalah, bercerita macam - macam hal dari cerita Gunung Benum hingga ke gosip liar artis tanahair :p  Aku dan geng yang naik kereta Hasan tiba di Gombak pada jam 9.00 malam dan sempat minum kejap dengan Amir, Heri dan lain - lain sebelum aku bergerak ke Melaka pada jam 10.00 malam dan tiba di Lendu pada jam 12.00 tengah malam dan akhirnya aku sampai ke rumah jam 1.00 pagi.



Cadangan:
1. Bawa air minum sendiri 3 L termasuk air manis (500 ml x2). Pada aku penting pasal ia sumber tenaga dan takdelah asik nak minum air sungai je. Sedap sikit rasa tekak tu.
2. Bawa wind breaker naik puncak. Sejuk sangat masa berhenti rehat nanti.

25 orang peserta:

1. Aku
2. Heri
3. Hilmi
4. Amien
5. Joe Zul
6. Sham
7. Izz
8. Zaki
9. Anum
10. Hasan
11. Amir
12. Eypa
13. Azrah
14. Mishar
15. Lina
16. Kak Ema
17. Kak Wan
18. Hasnah
19. Jet
20. Jet's wife
21. Afiah
22. Akmar
23. Abah
24. Abang Mat
25. Kak Ayu

Organizer: Core Adventure

Tuesday 5 September 2017

Dive Trip Tioman 5 - 7 Mei 2017



OK. Trip ke Tioman kali ni lain. Kami naik feri dari Tg. Gemok, Rompin, Pahang disebabkan feri dari Mersing bertolak agak lewat iaitu pada jam 3.30 dan 5.00 petang. Biasalah feri kat Mersing ni kena ikut pasang surut air laut. Kalau tiba dah petang di Kg. Salang, kami akan rugi 2 dives pada hari pertama.

Untuk post Tioman yang lain, klik sini.

4 Mei, Khamis

Syariz bertolak dari KL bersama Apek, Nabilah dan Ren Yin dan sampai kat rumah aku dalam pukul 10.45 malam. Lepas masukkan barang, kami teruskan perjalanan. Kami berhenti sekejap di tol Ayer Hitam untuk tunggu kawan Ren Yin (Faezah) yang ikut kami sekali ke Tioman. Nabilah dan Ren Yin naik kereta Faezah , manakala aku dan Apek naik kereta Syariz dan kami berhenti minum kejap di Kluang. Trip kali ni ada 5 orang divers dan seorang non-divers.

5 Mei, Jumaat

Kami tiba di Hotel Embassy, Mersing pada jam 2 pagi. Tidur sekejap dan bangun semula pada pukul 4.15 pagi. Pada jam 4.30 pagi, kami bergerak ke Tg. Gemok. Masa yang diambil dari Mersing ke Tg. Gemok hanya 45 minit. Di Tg. Gemok ada kedai makan yang dibuka 24 jam. Bukan kedai mamak rasanya. Di situ, ramai pengunjung yag akan menaiki feri ke Tioman sudah menunggu. Kat situ jugak Apek collect dive comp yang dia dah order lebih awal dari Abang Bani (trusted seller untuk barang diving). Di sini ada surau yang agak luas berdekatan dengan jeti (bukan dalam bangunan jeti). Kami naik feri pukul 7.00 pagi dan sampai di Kg. Salang dalam jam 9.00 pagi. Kereta kami letakkan di tempat letak kereta bersebelahan jeti. Dekat je.

Baru tiba di jeti Kg. Salang

Salang House Reef


Memandangkan chalet pun belum siap lagi, kami pergi ke dive center untuk setting barang scuba kami. Bila chalet dah siap, kami hantar barang ke dalam bilik dan tukar baju untuk turun diving.

Apek dengan dive comp barunya yang akan dirasmikan kejap lagi (gambar: Syariz)


  • 1st Dive - Salang House Reef


Balik dive, lunch dan rest kejap sebelum boat dive.


  • 2nd Dive - Terdau Bay


Balik dive lepak minum kat anjung chalet sambil makan biskut. Lepas tu dah gelap sikit ready untuk 3rd dive (night dive).


  • 3rd Dive - Night Dive @ Salang House Reef. Apek naik atas awal pasal mask flooding.



6 Mei, Sabtu

Lepas sarapan, kami bersiap untuk buat boat dive.


  • 4th Dive - Tiger Reef. Apek kurang 2 kg weight, tak boleh nak turun, naik bukak wet suit
  • 5th Dive - Labas. Aku bukak wet suit, bagi 1 weight kat apek.

Lepas dive ke-5, kami lunch dan aku terus mandi. Yang lain buat dive ke-6. Aku sorang je yang tak pergi. Tidur dalam bilik je. 



  • 6th Dive - aku tak pergi. Salang House Reef je tapi site lain yang jarang pergi


7 Mei, Ahad

Balik naik feri pukul 7.00 pagi. On the way balik, kami singgah makan kat restoran banana leaf kat Kluang, berdekatan dengan Kluang Railway Coffee.
Dari kiri: Syariz, Apek, Aku, Ren Yin, Nabilah, Faezah kat restoran banan leaf. (gambar: Syariz)

Tuesday 14 March 2017

Ride & Camp Pantai Pasir Lanun, Teluk Penyabung, Endau 11 - 12 Mac 2017



Kali ni aku ride bukan secara solo, tapi bertiga. Malah, ni kali pertama aku ride dan camping. Plan nak ke Teluk Penyabung ni dah lama terfikir, cuma tak ada masa dan kesempatan untuk pergi je. Sampai la Kert Hafiz (Repsol Honda RS150) mengajak pergi ride mana - mana, aku terus mencadangkan Teluk Penyabung. Lokasi ni sesuai la sebab dia dari Gambang manakala aku dari Melaka. Aku ajak lagi beberapa orang, tapi yang ikut hanyalah Helmi (Yamaha Y15ZR) dari Melaka.

11 Mac 2017

Aku bergerak dari rumah menuju ke Shell Jasin pada jam 10 pagi untuk berjumpa dengan Helmi. Dalam jam 10.30, Helmi sampai dan terus isi minyak. Lepas tu terus kami bergerak ke Bandar Muadzam Shah melalui Pasir Besar dan Felda Palong. Berhenti isi minyak di BHP Pasir Besar memandangkan jarak perjalanan yang masih jauh dan ditakuti tiada stesen minyak untuk disinggahi.

Jalan Felda Palong (1283) agak sempit dan pada masa itu, ada beberapa lori yang melambatkan perjalanan kami. Keadaan jalan yang sempit, berselekoh dan berbukit menyukarkan kami untuk memotong, lagi - lagi motor aku yang hanya 100 cc.

Sampai je di persimpangan Jalan Bahau - Keratong (11) , aku mula gembira pasal dah jumpa jalan utama. Jalan pun dah lebar dan tidak berselekoh. Ada juga lori yang perlahan tapi masa yang diambil tak terlalu lama untuk memotong.

Kami tiba di Petronas Bandar Muadzam Shah dalam jam 12.50 tengahari. Siap - siap isi minyak lepas tu lepak minum sambil menunggu Kert kat kedai makan. Kert tiba dari Gambang dalam jam 1.15 tengahari. Dalam jam 2.00 petang, kami sambung perjalanan ke Leban Chondong dan tiba di sana sejam kemudian.

Udang Galah Leban Chondong
Makanan kami bertiga

Gerai Makan Azizah Udang Galah, Leban Chondong

Kami berhenti makan di Leban Chondong untuk merasai kehebatan udang galah yang sering diperkatakan tu. Sanggup makan kuih je kat Muadzam Shah semata - mata nak makan tengahari kat sini. Kami makan di Gerai Makan Azizah Udang Galah. Yang ada cuma udang galah masak tomato. Harga sekilogram RM90. Seekor berharga RM20 - RM25 dah siap masak. Kalau tengok harga (harga memang terpampang pada menu) memang macam tak nak makan tapi dah alang - alang sampai sini dan teringin nak merasa udang galah, maka, ambil jugaklah seekor. Jumlah harga makanan kami bertiga adalah RM81. Jadi, purata adalah RM27 seorang, termasuk air. Sesiapa yang plan nak makan di sini, bawaklah duit lebih ye!

Dah selesai makan, kami sambung perjalanan. Aku dan Kert singgah isi minyak kat Petronas Tanjung Gemuk sebelum meneruskan perjalanan. Kami tiba di Pantai Pasir Lanun dalam jam 4.15 petang. Untuk ke sini dari Pekan Endau, ambil Jalan Penyabung - Endau (J182). Lalu jalan ni terus je sampai jumpa jeti Teluk Penyabung dan belok ke kanan hingga ke hujung jalan. Di hujung jalan (berhadapan Endau Beach Resort) ada jalan kerikil/pasir sepanjang 700 meter sebelum sampai ke Pantai Pasir Lanun. Jalan ini di kelilingi hutan jadi lebih baik sampai sebelum waktu malam supaya mudah sampai. Jalan tidak seteruk mana dan kereta boleh melalui jalan ini, cuma jangan laju.

Disebabkan kami tidak buat sebarang tempahan, jadi kami mencari - cari juga macam mana nak sewa tapak khemah. Aku pun bertanya kepada pekerja kedai makan di situ dan diperkenalkan kepada pemilik/penjaga chalet di situ.

Kedai makan dari arah pantai. Buka hingga jam 7 petang

Pemandangan sekitar pantai







RM8 je seorang untuk berkhemah

Kami dikenakan caj sebanyak RM8 seorang untuk berkhemah dan juga tandas. Kebiasaannya, tandas (berbayar) akan ditutup pada jam 7.00 malam (tiada pengunjung pada waktu malam). Kami memang perlukan tandas tersebut dibuka memandangkan itu sahaja sumber air paip yang ada untuk masak nasi dan air. Tiada pili air di sekitar kawasan perkhemahan.

Dalam pukul 6.15 petang, aku masak nasi untuk makan malam. Lepas tu barulah kami mandi laut sampai la dekat - dekat waktu maghrib. Kami makan nasi berlaukkan kari ayam dalam pek tu je. Tinggal panaskan je. Mudah. Tak lupa juga lauk yang Kert bawa bekal dari rumah. Daging masak kicap/ungkep. Kert yang masak sendiri. Sedap. Lepas makan kami berborak - borak je sambil makan kacang sampai la dekat jam 12 tengah malam dan lepas tu terus tidur.

Makan malam kami. Nasi bersama kari ayam dan daging kicap

Bulan purnama

Pondok yang kami gunakan. Siap berlampu tetapi lampu hanya ada selang 1 pondok. Kami masak di sini sahaja. Banyak pondok disediakan untuk kegunaan pengunjung
Lampu pondok dihidupkan seawal 7 petang

Khemah kecil untuk letak barang dan khemah besar untuk tidur
Motor diletakkan di tepi khemah. 
Perjalanan pergi melalui Jasin - Rim - Pasir Besar - Felda Palong - Keratong - Bandar Muadzam Shah - Leban Chondong - Kuala Rompin - Tg. Gemuk - Endau


12 Mac 2017

Masing - masing bangun untuk Subuh jam 6.30 pagi. Boleh pulak tengah solat, hujan gerimis (solat atas groundsheet je). Hujan gerimis kejap je, dalam 15 - 30 minit. Kami sarapan roti yang dibawa oleh Kert. Sapu dengan tuna. Air kopi O. Kami sarapan sambil tunggu matahari terbit.

Matahari terbit
Dalam jam 8.00 pagi, kami mengemas khemah dan bersiap - siap untuk pulang. Jam 9.00 pagi kami bergerak meninggalkan tapak khemah.





Masa lalu di kawasan jeti Teluk Penyabung, ada beberapa kedai makan. Jadi kami singgah untuk bersarapan (lagi). Aku dah kenyang pasal banyak makan roti, jadi aku hanya minum manakala Kert dan Helmi masing - masing mengambil nasi lemak dan mi goreng. Kedai makan ni tak pasti waktu operasinya tapi pada petang hari sebelumnya, aku macam perasan kedai makan ni dibuka. Lain kali, bolehlah tanya dulu sebelum nak masuk ke Pantai Pasir Lanun. Manalah tau kalau buka pada waktu malam, boleh juga makan malam dan mengeteh kalau tak bawa bekalan makanan.

Jam 10.00 pagi kami mula bergerak pulang. Kami berpecah di simpang Jalan Penyabung - Tg. Resang (J183). Kert ke arah Kuala Rompin manakala aku dan Helmi menggunakan jalan Penyabung - Tg. Resang (J183) dan Jalan Tg. Resang - Air Papan (J78) dan keluar di jalan utama sekitar 8 km dari Bandar Mersing. Kami singgah isi minyak di Petronas Mersing sebelum meneruskan perjalanan ke Kluang melalui Felda Nitar (1425 - 1399 - 1397).

Kira - kira 15 km dari Bandar Kluang, kejadian yang tak diingini belaku. Dry bag yang aku ikat atas box dengan cargo strap tercabut dan jatuh. Aku terdengar ada benda macam terjatuh dan motor aku pun ada terasa sedikit goyang. Aku pun dah tengok sebelah kiri belakang motor dan tak nampak apa -  apa yang pelik berlaku sampai la ada pemesin rumput yang sedang berehat menunjukkan sesuatu pada motor aku. Aku tengok sebelah kanan belakang motor, rupanya aku dah seret dry beag aku. Ada la 50 - 100 meter dari tempat aku dengar bunyi jatuh tadi.

Setting beg masa nak pergi. Tiada masalah kerana dry bag diikat pada beg 

Kesan seretan. Berlubang dry bag
Cara ikat cargo (dry bag) yang salah. Dry bag diikat pada box sahaja. Masih boleh bergerak kiri dan kanan walaupun pada awalnya sudah cukup ketat. Perlu ada 1-2 strap/getah lagi untuk lebih kukuh. Tak boleh buat macam masa nak pergi pasal beg ditutup dengan plastik. Cuaca agak mendung di awal perjalanan











Ada cargo net, gunakan untuk tutup bakul supaya botol minyak tak bergerak dan baju hujan tak terbang
Ikat batang khemah kat monorack. Stabil dan tak bergerak. Tak menghalang daripada seat dibuka untuk isi minyak

Sampai di Kluang, kami makan tengahari di Kluang Rail Coffee, betul - betul kat Stesen Keretapi Kluang. Aku makan mi soto dan ban bakar serta air kopi ais. Rasa boleh tahan sedap dan harga memang berpatutan. Hanya RM6.80 je. Kami bergerak ke Muar melalui Yong Peng dan Parit Sulong pada jam 1.00 tengahari (50 - 1 - 24).




Yang serbuk milo kat atas tu namanya coco dinosour. Helmi yang order

Kami tiba di Muar jam 3.15 petang, minum cendol di Cendol De' Raja. Aku order cendol special. Bukan special sangat pun, cuma ada jagung dan kacang merah je. Nak lagi special, cendol special pulut durian la. Kat sini ada juga rojak dan cucur udang. Lokasi kat Jalan Meriam, dekat dengan Muar High School.

Kedai cendol baru buka kot. Aku yang orang Muar pun baru tahu. Biasa pergi cendol Jalan Sisi je

Cendol special RM2.50 dan cucur udang yang tak pasti harganya pasal bukan aku yang order

Selesai minum cendol, aku dan Helmi ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim untuk solat sebelum masing -  masing pulang ke rumah.

Perjalanan balik melalui Teluk Gorek - Air Papan - Mersing - Felda Nitar - Kahang - Kluang - Air Hitam  - Yong Peng - Pt. Sulong - Bakri - Muar 

Perjalanan kami semua baik sahaja tanpa ada sebarang masalah kecuali dry bag aku terjatuh dan terseret. Cuaca baik sepanjang perjalanan tanpa hujan.

Jarak perjalanan: 258 km (pergi) + 237 km (balik) = 495 km
Minyak petrol: RM5 (rumah) + RM4.70 (Pasir Besar) + RM6.70 (Bandar Muadzam Shah) + RM5 (Tg. Gemuk) + RM4 (Mersing) + RM6 (Kluang)  = RM31.40
Tapak khemah: RM8
*nombor yang di dalam kurungan merupakan nombor jalan yang dilalui