Wednesday 20 October 2021

MENDAKI BUKIT MOR 18 OKT 2021

 


Ini pertama kali mendaki Bukit Mor selepas sekatan rentas negeri pada 13 Jan 2021. Naik kali ni, ada nampak beberapa perubahan yang telah dilakukan oleh pihak yang berkaitan. Syabas.

Kat sini aku nak bagi penafian, yang blog aku ni tak menggalakkan sesiapa/kumpulan yang belum pernah naik Bkt Mor ni untuk naik tanpa panduan dari orang yang pernah naik melainkan korang memang pakar mendaki atau pakar selok belok hutan. Aku tak bertanggungjawab kalau berlaku apa-apa berlaku kat korang.

Sampai-sampai di parking, beberapa ekor anjing menyalak kat kereta aku. Korang tak payah takut. Anjing tu tak buat apa-apa pun. Korang halau sikit, ia akan pergi dari situ. Aku dapat parking kat dalam sebab hari ni hari kerja. Biasa kalau hujung minggu aku cuma dapat park kereta di luar je. 

Parking dari arah atas bukit

Aku memulakan trekking pada jam 7.30 pagi. Takde sorang pun pendaki kat parking waktu tu, kereta je yang banyak. 

Ada beberapa destinasi yang dah tak boleh pergi. Trek D tu macam lain dari yang sebenar

Aku macam biasa akan trekking ikut trek A kalau naik Bkt Mor. Kat simpang pertama, aku ambil laluan kanan iaitu trek A dan B. Laluan kiri tu trek C.

Simpang pertama, laluan kanan, trek A dan B

Simpang pertama, laluan kiri, trek C. Abaikan signboard checkpoint

Signboard trek A (biru), trek B (merah), trek C (ungu) dan D (hijau) ni kira baru pada aku. Sebelum ni takde lagi. Laluan trek macam ni la idea aku sebelum ni bila ada rungutan pendaki yang kata trek Bkt Mor ni mengelirukan. Tapi idea tu aku simpan je la sebab aku bukan siapa-siapa pun kat Bkt Mor tu.

Kat simpang kedua, aku ambil trek kanan.

Simpang kedua. Pecahan trek A dan B. 

Simpang ketiga, aku terus je. Pada aku signboard merah tu tak perlu. Sebab laluan tu bukan trek B tetapi laluan tambahan untuk ke trek B.

Simpang ketiga. Trek A terus.

Simpang ke-4. Trek A terus. Kanan ke Dataran Bendera

Dataran Bendera. Boleh nampak pekan Parit Jawa

Tanda keluar. Insya Allah korang dapat keluar kalau ikut ni

Puncak tertinggi Bkt Mor; 233m

Kawasan rehat sekitar puncak 233

Kawasan rehat sekitar puncak 233

Simpang ke-5. Trek A terus. Kiri tu laluan ke trek B

Antara simpang 5 dan 6, memang akan ada kekeliruan sikit. Ada beberapa simpang yang tidak bertanda. Kalau tak pandai, memang boleh silap jalan. 

Simpang ke-6. Terus. Kalau naik ke atas kiri, akan ke trek B

Tokong kecil di trek A

Pondok di trek A

Puncak Bendera kini ditutup

Penghujung jalan trek A. Signboard tunjuk arah balik melalui trek A

Pertemuan antara hujung trek A dan hujung trek C


Melalui trek C secara lawan arah

(22) Dari arah hujung trek C, ambil kanan untuk melalui trek C

Turun ke hujung trek C

Trek D, siap ada amaran sebab trek ni trek yang sukar

Kalau nak turun, ikut kiri untuk lalu trek C. Kanan tu ke dusun durian. 

Kawasan rehat di trek C

Kawasan rehat di trek C

Anak sungai di trek C

Kena lintas anak sungai kat trek C

Dari trek C, boleh nampak akar pokok memeluk batu aka Rock Hugger yang bersebelahan trek B

Trek A dan trek C ni treknya mula sama dan hujungnya pun sama. jadi boleh buat 1 loop.  Aku sampai ke parking semula dalam masa 1 jam 15 minit dengan jarak perjalanan 3.67km.



Pada pendapat aku, trek di Bkt Mor ni memang boleh mengelirukan pendaki terutama pendaki baharu. Jadi dengan penandaan trek A, B, C dan D dengan kod warna amat membantu para pendaki. Cuma pada aku, laluan alternatif/tambahan yang menghubungkan antara trek-trek utama tu dibiarkan sahaja dan diwarnakan kelabu pada peta/panduan. Trek kelabu boleh sahaja dilalui oleh pendaki yang mahir.

Trek B aku tak pasti tandaannya macam mana tapi seingat aku (dan dengan panduan peta di atas), ia terpecah kepada beberapa arah iaitu ke trek A (simpang ke-5), trek A (simpang ke-6) dan yang bersambung dengan trek C (gambar 22). Kat sini bolehlah dipilih 1 laluan sahaja sebagai trek utama (trek B) dan aku pilih laluan yang menghala ke penghujung trek A sebab ia laluan paling dekat pada aku.

Kat sini aku kongsi juga beberapa tips mendaki bukit:

  1. Mendaki pada waktu pagi. Jadi kalau korang 'tersesat' masih ada banyak masa untuk mencari jalan keluar. 
  2. Bawa keperluan asas seperti first aid kit, lampu suluh (walaupun siang), pisau kecil, air dan makanan yang mencukupi. 
  3. Jangan mendaki berseorangan jika tidak mahir. Jika pergi berkumpulan, pastikan ada yang mahir. Ia lebih selamat.
  4. Jika rasa seperti tersesat, cuba tunggu sebentar untuk supaya dapat bertemu dengan pendaki lain. Jika tiada, cuba patah balik ke simpang terakhir dan tunggu pendaki lain.
  5. Jangan malu bertanya kepada pendaki lain tentang laluan. Minta tunjukkan jalan. Ramai yang sudi membantu.
  6. Pilih mendaki pada hari minggu. Ramai pendaki pada waktu ini.
  7. Pastikan orientasi anda. Mana timur/barat, mana arah jalan utama, mana arah parking. Ini membantu anda jika anda tersesat.
  8. Jangan lupa, bawa keluar sampah. Buang di tong sampah di luar kawasan bukit.


Friday 15 October 2021

SOLO RIDE KE KUALA SG BARU, MELAKA 3 OKT 2021

 


Aku terjumpa satu tempat yang menarik ni masa aku dok belek-belek google map area Kuala Sungai Baru. Nama tempat ni Ngeteh Cafe. Jadi aku teringin juga nak pegi ke sini tapi hati masih 50-50. Akhirnya aku nekad jugalah pergi ke sana sorang-sorang sebab kawan aku yang aku ajak tu tak dapat pergi.

Dalam jam 2.45 petang, aku bergerak dari rumah menuju ke Kuala Sungai Baru menaiki motosikal. Aku memilih untuk melalui  Kesang Pajak - Durian Tunggal - Melaka Pindah - Lendu. Malas nak lalu AMJ sebab banyak lampu isyarat. Naik moto panas-panas macam ni memang tak bestlah kalau banyak kena berhenti. Ingatkan cuaca cerah sepanjang jalan, tapi hujan lebat pula kat Durian Tunggal. Tapi kejap je. Di Lendu, hujan dah berhenti dan terpaksa berhenti lagi sekali untuk buka baju hujan.

Lebih kurang 1 jam setengah, aku dah sampai di Kuala Sungai Baru. Tapi aku singgah kejap di Masjid Al-Hasaniah memandangkan waktu Asar dah masuk.

Ngeteh Cafe ni dah dekat sangat dengan Masjid Al-Hasaniah. 100m pun tak sampai rasanya. Korang boleh cek kat sini. Kafe ni buka dari jam 3.00 petang hingga 7.00 petang. Masa aku sampai ni dah ada beberapa orang pelanggan. Alhamdulillah aku sampai awal sikit, dalam jam 5.00 petang, agak ramai pelanggan datang secara serentak dan kerusi pun boleh habis. Jadi aku cadangkan datang pada jam 3.00 petanglah, waktu tak ramai orang.

Masa kat kafe tu, aku berkenalan dengan sorang brader ni, Lan nama dia. Rider jugak macam aku. Dia dan kawan-kawan dia sibuk promote Route 138 (Jalan Kuala Sungai Baru). Bagus lah bila orang tempatan merancang untuk memajukan destinasi pelancongan di tempat sendiri. Terbaik.

Ada pelbagai jenis minuman terutama kopi dijual di sini. Kuih-muih dan kek juga ada dijual. Harga berpatutan pada aku.

Ngeteh Cafe

Kaunter

Minum petang hari tu, caramel machiato kot dengan moist cake

Ada tempat duduk dan buaian yang menghadap laut

Petang sikit, orang dah ramai datang

Lepas dah rehat dan minum, aku bergerak pulang melalui jalan pantai Kuala Sg Baru. Baru tau banyak juga chalet di sini dan tempat pantai untuk mandi juga tak sesak macam Pengkalan Balak. Korang boleh tengok videonya kat bawah ni.


Dalam 7.10 malam, aku selamat tiba di rumah.

Monday 11 October 2021

MELANCONG SOLO KE KELANTAN (TRAIN TO DABONG & KB) 23-28 OKT 2020



Lama dah tak menulis. Trip ni Oktober 2020, tapi punya malas, dah  nak sampai setahun baru tulis. Tapi disebabkan untuk kenangan diri sendiri, tulislah jugak di samping beri info untuk pembaca.


23 Okt 2020 (Jumaat)

Aku bergerak dari rumah ke Stesen Keretapi Gemas menaiki kereta; 1 jam 30 minit perjalanan dari rumah ke stesen, melalui Jementah. Aku pilih jalan ni disebabkan jalan ni sibuk sikit dari jalan Nyalas tu walaupun lagi dekat. Tapi selepas Tangkak, jalan dah sunyi walaupun pada waktu itu belum jam 11.00 malam lagi. Aku sampai di stesen lebih kurang jam 11.30 malam. Parking kereta kat stesen free je. Aku pun dah siap tanya kat Polis Bantuan yang sedang bertugas. 


24 Okt 2020 (Sabtu)

Lebih kurang jam 00.20 pagi, keretapi mula bergerak meninggalkan stesen setelah 15 minit berhenti mengambil penumpang. Keretapi ni jenis sleeper train. Ala, yang ada katil tu. Tiket Gemas - Dabong berharga RM42, untuk katil bawah. Katil atas harga murah sikit. Aku pernah dulu beli katil atas, Gurun - KL Sentral, pendapat aku, katil bawah lebih luas.

Disebabkan malam, aku habiskan masa dengan tidur jelah. Lagipun gelap kat luar sana, tiada apa yang nak ditengokkan. Lepas subuh, aku pergi ke kafe untuk bersarapan. Hari pun semakin terang, boleh la tengok pemandangan di luar. Apabila tren tiba di stesen Gua Musang, tren berhenti agak lama dan penumpang boleh turun sebentar untuk membeli makanan yang ada dijual di situ dan juga pergi ke tandas. Tenang sikit buang air kat tandas stesen berbanding tandas tren.

Katil bawah

Kafe dalam tren. Ais nescafe kot dengan roti bakar

Pemandangan luar dari katil

Stesen Gua Musang

Bukit batu kapur dari arah stesen Gua Musang

Dalam jam 9.45 pagi, aku sampai kat Stesen Dabong. Pada masa tu, tak ramai yang turun dari tren. 2-3 orang je kot. Kat situ memang dah ada pemandu (prebet sapu) yang sedang menunggu. Jadi, aku pun gunakanlah perkhidmatan dia memandangkan dia yang tegur aku dulu. 



Kereta pakcik ni diletakkan diseberang stesen. Jadi, kenalah lintas landasan tu. 1st time kot aku lintas landasan keretapi ni. Dari situ, pakcik ni bawa aku melawat Gua Ikan. Aku pun ambillah gambar sikit buat kenangan.








Kami teruskan perjalanan ke Jelawang Pipe Resort. Sebelum sampai ke sana, pakcik ni bawa aku naik ke 1 bukit ni, kat situ boleh tengok pemandangan Gunung Stong dan Air Terjun Jelawang. Puncak gunung masa tu dilitupi awan dan air terjunnya pun tak berapa nampak.


Lepas ambil gambar, aku cakap kat pakcik tu nak sarapan dulu. Aku teringin nak sarapan nasi kerabu pagi tu tapi malangnya nasi kerabu dah habis. Aku makan nasi lemak je lah pagi tu. Dalam jam 11.30 macam tu, sampailah aku ke Jelawang Pipe Resort. Seingat aku, bayar RM15 kat pakcik ni untuk perjalanan sehala.

Aku kat sini tak ambil chalet atau bilik, tapi aku pasang hammock dan flysheet. RM3 atau RM5 untuk sewa tapak khemah. Bila hammock dah siap pasang, aku berehat kejap menunggu hari petang sikit untuk mandi dan makan.

Aku tidur dalam hammock bawah flysheet je 

Chalet paip. Yang single macam ni ada 5. Belakang tu sungai

Lepas aku pasang hammock, orang semakin ramai datang berpiknik


Ada kawasan yang disimen rata dan di pasang khemah 20'x20'

Atas bukit ada chalet bentuk A. Ada 3 kot

Tandas

Surau

Pondok. Ada bayaran. RM15 sehari rasanya

Chalet paip 3. Ada 2 buah kalau tak silap

Sungai ni malam dipasang lampu. Boleh mandi masa malam

25 Okt 2020 (Ahad)

Pukul 3.30 pagi aku dikejutkan oleh guide yang akan bawa aku ke Kem Baha, Gunung Stong. Memandangkan aku hanya membawa sport shoes, maka guide ni beri aku pinjam hiking shoes, ada pulak saiz tu. Untuk aku yang kaki bersaiz besar, biasa susah nak dapat kasut. Aku dan 1 keluarga ni (5 orang) bergerak menaiki 4x4 menuju ke kaki Gunung Stong, di Stong Hill Resort. Kami mula mendaki pada jam 4.45 pagi dan sampai di Kem Baha dalam masa 1 jam 10 minit. Lama juga lepak kat Kem Baha tu. Lebih dari sejam rasanya. Aku dikenakan bayaran RM60 untuk mendaki ke Kem Baha. Oklah kot dengan kenderaan dan sarapan. Kalau ramai sikit mungkin boleh murah.

Sungai di Kem Baha

Berkabus. Tak nampak sunrise

Air terjun kat sebelah belakang Kem Baha

Kat hujung betul-betul kat air terjun Jelawang

Kali ni jelas sikit penampakkan air terjun Jelawang

Sampai je kat resort, aku terus berkemas sebab nak bersiap untuk naik keretapi ke Kota Bharu. Mulanya ingat nak mandi sungai, tapi sebab nak cepat, mandi kat tandas je lah. Aku dah call siap-siap pakcik pemandu masa datang hari tu untuk ambil aku pada jam 1.00 petang. Saja nak sampai awal sebab aku nak makan tengahari kat Che Da Mee Udang Galah.

Mi udang galah di Che Da Mee Udang Galah. Sebelah Stesen Dabong

Meninggalkan Dabong dengan menaiki shuttle train

Jam 2.30 petang macam tu, aku bergerak menaiki 'shuttle train' (RM5) menuju ke Stesen Wakaf Bharu. Kira stesen yang paling dekatlah untuk ke Kota Bharu. Jalan kat depan stesen Wakaf Bharu ni agak sesak. Tak pasti sebab apa, kawan aku, Syam pun sampai agak lewat disebabkan kesesakan jalan ni. Syam ni kawan aku sama-sama main ragbi masa kat universiti dulu. 

Di KB, aku tidur kat ParkView GuestHouse. Memang park view sebab kat depan guesthouse ni ada taman kecil, pagi-pagi ada orang senam dan tai-chi. Aku dah book lebih awal guesthouse ni guna booking.com. Murah je, RM24.71. Guesthouse ni kira asrama lah atau hostel. Tandas kongsi kat luar. Kat sini ada beberapa bilik.  Yang aku duduk tu, boleh masuk 4 orang. Bilik diasingkan mengikut jantina. Malam tu aku cuma seorang je tidur kat bilik tu. Kat bilik lain ada jugak orang lain. Kalau datang berdua laki dan perempuan, nak duduk bilik berdua, kena tunjuk bukti dah nikah.

Hostel tempat aku bermalam selama 2 hari

Cerana Guesthouse mungkin nama lama guesthouse ni

Makan malam hari ni aku dibawa oleh Syam ke Berek 12, makan nasi kerabu. Aku pun memang request dengan Syam nak makan nasi kerabu disebabkan trip aku dengan family sebelum ni tak sempat nak makan nasi kerabu.

Nasi kerabu kat Berek 12. Lupa nama kedai

26 Okt 2020 (Isnin)

Pagi ni aku sarapan kat Kopitiam Kita. Dulu masa trip dengan family, dah merasa makan kat sini. Jadi, aku sarapan di sini lah dan hostel yang aku duduk tu kira tak berapa jauh dan boleh la untuk berjalan ke sini.

Roti titab dan kopi

Kuba guling. Dulu pergi tak dapat merasa

Lepas sarapan, aku balik semula ke hostel sebab makan tengahari nanti Syam nak bawa aku makan pulak.

Aku dibawa makan tengahari di Restoran Ulam Cikgu Taman Orkid oleh Syam. Selera sungguh dapat makan kat situ padahal amik lauk biasa-biasa je. Lepas makan tengahari, Syam ajak minum air kelapa pulak kat PCB. Nasi tengahari tadi belum pun turun ke perut, dah minum petang pulak. Hahaha. 

Makan udang celup tepung dan minum air kelapa di PCB

Malam tu aku berjalan-jalan sekitar Menara Jam Tambatan Diraja. Di sana ada peniaga yang berniaga beberapa jenis makanan. Seingat aku, aku makan nasi dagang yang dibungkus, dan aku terus makan di meja yang disediakan di situ.



27 Okt 2020 (Selasa)

Hari terakhir aku di bumi Kelantan. Pagi tu aku bersarapan di lokasi yang telah disarankan oleh kawan-kawan. Pertama sekali, aku bersarapan di Pasar Kubang Pasu. Aku beli beberapa jenis kuih di situ dan duduk order air minum di kedai makan di pasar tersebut. Meriah sungguh pasar tu pagi-pagi. Senorok juga makan sorang-sorang sambil mendengar perbualan orang-orang di sana. Tak faham semua, tapi boleh la tangkap sikit-sikit sebab ramai juga berkawan dengan orang Kelantan. 

Macam-macam makanan ada di sini


Order air teh tarik sambil sarapan kuih yang sudah dibeli

Lupa dah nama kuih ni

Kedai kedua aku pergi untuk sarapan (sarapan dua kali! hehe) adalah di Kedai Kopi White House. Aku mencuba nasi tumpe (tumpang?) Sedak dooh. Kalau pergi ke Kelantan, memang kena makan lagi nasi ni.

Bersarapan di Kedai Kopi White House

Nasi tumpe. Nasi lebik yang dibungkus berlauk sambal udang. Yang lain tak pasti

Selepas sarapan, aku menjadi pelancong. bersiar-siar di sekitar bandar Kota Bharu dan membeli sedikit buah tangan untuk keluarga di Pasar Siti Khadijah. Tak ramai orang sebab hari kerja. Lalu je depan kedai, masing-masing memanggil untuk singgah. Kira macam jejaka idaman Malaya lah masa tu! Setelah membeli-belah, aku pulang semula ke hostel untuk berehat. 






Selepas siap-siap packing beg, aku check-out hostel tapi aku tinggalkan beg kat kaunter. Yelah, takkan nak usung beg besar aku ke sana-sini kan. Aku dicadangkan untuk makan tengahari di D Tower Soup untuk makan nasi sup dan daging bakar. Disebabkan aku salah baca google map, aku dah tersalah jalan dan ikut jalan yang jauh untuk sampai ke destinasi. 

Makan tengahari di D Tower Soup

Selepas makan tengahari, aku ke destinasi seterusnya. Hari ni aku banyak makan tapi aku tak kisah sangat sebab aku berjalan sepenuhnya ke semua destinasi. Kira calorie burned pun banyak lah. Hahaha. Aku mencuba roti tempayan di kedai Roti Tempayan Abe Noor. Rotinya lembut dan kuah cicah pun sedap. Korang kena cuba rasa makan di sini.

Roti tempayan Abe Noor

Lepas pekena roti tempayan, aku pergi ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk merasai popia stadium yang orang kata sedap tu. Memang sedap. Bukan yang macam aku biasa makan kat kawasan rumah aku.

Popia stadium

Kenduri makan semua sudah, aku balik semula ke hostel untuk mengambil beg. Masa nak ambil beg tu, staf hostel tu punyalah baik, dia kata boleh duduk berehat di ruang tamu sementara mengunggu tren aku pada jam 7.08 malam. Seingat aku, aku bergerak keluar dari hostel pada jam 5.30 petang menaiki grab menuju ke stesen Wakaf Bharu.

*Jarak berjalan aku pada hari ni adalah 7.4km.


28 Okt 2020 (Rabu)

Tren aku tiba di stesen Gemas pada jam 7.10 pagi. Tanpa membuang masa, aku terus keluar dari stesen Gemas dan bersarapan di sebuah kedai makan di Taman Damai, Gemas. Selepas bersarapan, aku terus pulang ke rumah melalui Jalan Nyalas, Melaka.

Trip kali ni, aku memang plan untuk duduk di hostel (KB) yang 'walking distance' dengan tempat tumpuan pelancong dan tempat makan. Selain naik kereta Syam, semua tempat aku pergi dengan berjalan. Sekali je aku naik grab, itu pun sebab nak pergi ke stesen keretapi. Pergi pon solo, memang mudah untuk bergerak kemana-mana dengan berjalan. Korang pun boleh cuba dengan kawan-kawan kalau tak berani sorang-sorang.