Monday 11 October 2021

MELANCONG SOLO KE KELANTAN (TRAIN TO DABONG & KB) 23-28 OKT 2020



Lama dah tak menulis. Trip ni Oktober 2020, tapi punya malas, dah  nak sampai setahun baru tulis. Tapi disebabkan untuk kenangan diri sendiri, tulislah jugak di samping beri info untuk pembaca.


23 Okt 2020 (Jumaat)

Aku bergerak dari rumah ke Stesen Keretapi Gemas menaiki kereta; 1 jam 30 minit perjalanan dari rumah ke stesen, melalui Jementah. Aku pilih jalan ni disebabkan jalan ni sibuk sikit dari jalan Nyalas tu walaupun lagi dekat. Tapi selepas Tangkak, jalan dah sunyi walaupun pada waktu itu belum jam 11.00 malam lagi. Aku sampai di stesen lebih kurang jam 11.30 malam. Parking kereta kat stesen free je. Aku pun dah siap tanya kat Polis Bantuan yang sedang bertugas. 


24 Okt 2020 (Sabtu)

Lebih kurang jam 00.20 pagi, keretapi mula bergerak meninggalkan stesen setelah 15 minit berhenti mengambil penumpang. Keretapi ni jenis sleeper train. Ala, yang ada katil tu. Tiket Gemas - Dabong berharga RM42, untuk katil bawah. Katil atas harga murah sikit. Aku pernah dulu beli katil atas, Gurun - KL Sentral, pendapat aku, katil bawah lebih luas.

Disebabkan malam, aku habiskan masa dengan tidur jelah. Lagipun gelap kat luar sana, tiada apa yang nak ditengokkan. Lepas subuh, aku pergi ke kafe untuk bersarapan. Hari pun semakin terang, boleh la tengok pemandangan di luar. Apabila tren tiba di stesen Gua Musang, tren berhenti agak lama dan penumpang boleh turun sebentar untuk membeli makanan yang ada dijual di situ dan juga pergi ke tandas. Tenang sikit buang air kat tandas stesen berbanding tandas tren.

Katil bawah

Kafe dalam tren. Ais nescafe kot dengan roti bakar

Pemandangan luar dari katil

Stesen Gua Musang

Bukit batu kapur dari arah stesen Gua Musang

Dalam jam 9.45 pagi, aku sampai kat Stesen Dabong. Pada masa tu, tak ramai yang turun dari tren. 2-3 orang je kot. Kat situ memang dah ada pemandu (prebet sapu) yang sedang menunggu. Jadi, aku pun gunakanlah perkhidmatan dia memandangkan dia yang tegur aku dulu. 



Kereta pakcik ni diletakkan diseberang stesen. Jadi, kenalah lintas landasan tu. 1st time kot aku lintas landasan keretapi ni. Dari situ, pakcik ni bawa aku melawat Gua Ikan. Aku pun ambillah gambar sikit buat kenangan.








Kami teruskan perjalanan ke Jelawang Pipe Resort. Sebelum sampai ke sana, pakcik ni bawa aku naik ke 1 bukit ni, kat situ boleh tengok pemandangan Gunung Stong dan Air Terjun Jelawang. Puncak gunung masa tu dilitupi awan dan air terjunnya pun tak berapa nampak.


Lepas ambil gambar, aku cakap kat pakcik tu nak sarapan dulu. Aku teringin nak sarapan nasi kerabu pagi tu tapi malangnya nasi kerabu dah habis. Aku makan nasi lemak je lah pagi tu. Dalam jam 11.30 macam tu, sampailah aku ke Jelawang Pipe Resort. Seingat aku, bayar RM15 kat pakcik ni untuk perjalanan sehala.

Aku kat sini tak ambil chalet atau bilik, tapi aku pasang hammock dan flysheet. RM3 atau RM5 untuk sewa tapak khemah. Bila hammock dah siap pasang, aku berehat kejap menunggu hari petang sikit untuk mandi dan makan.

Aku tidur dalam hammock bawah flysheet je 

Chalet paip. Yang single macam ni ada 5. Belakang tu sungai

Lepas aku pasang hammock, orang semakin ramai datang berpiknik


Ada kawasan yang disimen rata dan di pasang khemah 20'x20'

Atas bukit ada chalet bentuk A. Ada 3 kot

Tandas

Surau

Pondok. Ada bayaran. RM15 sehari rasanya

Chalet paip 3. Ada 2 buah kalau tak silap

Sungai ni malam dipasang lampu. Boleh mandi masa malam

25 Okt 2020 (Ahad)

Pukul 3.30 pagi aku dikejutkan oleh guide yang akan bawa aku ke Kem Baha, Gunung Stong. Memandangkan aku hanya membawa sport shoes, maka guide ni beri aku pinjam hiking shoes, ada pulak saiz tu. Untuk aku yang kaki bersaiz besar, biasa susah nak dapat kasut. Aku dan 1 keluarga ni (5 orang) bergerak menaiki 4x4 menuju ke kaki Gunung Stong, di Stong Hill Resort. Kami mula mendaki pada jam 4.45 pagi dan sampai di Kem Baha dalam masa 1 jam 10 minit. Lama juga lepak kat Kem Baha tu. Lebih dari sejam rasanya. Aku dikenakan bayaran RM60 untuk mendaki ke Kem Baha. Oklah kot dengan kenderaan dan sarapan. Kalau ramai sikit mungkin boleh murah.

Sungai di Kem Baha

Berkabus. Tak nampak sunrise

Air terjun kat sebelah belakang Kem Baha

Kat hujung betul-betul kat air terjun Jelawang

Kali ni jelas sikit penampakkan air terjun Jelawang

Sampai je kat resort, aku terus berkemas sebab nak bersiap untuk naik keretapi ke Kota Bharu. Mulanya ingat nak mandi sungai, tapi sebab nak cepat, mandi kat tandas je lah. Aku dah call siap-siap pakcik pemandu masa datang hari tu untuk ambil aku pada jam 1.00 petang. Saja nak sampai awal sebab aku nak makan tengahari kat Che Da Mee Udang Galah.

Mi udang galah di Che Da Mee Udang Galah. Sebelah Stesen Dabong

Meninggalkan Dabong dengan menaiki shuttle train

Jam 2.30 petang macam tu, aku bergerak menaiki 'shuttle train' (RM5) menuju ke Stesen Wakaf Bharu. Kira stesen yang paling dekatlah untuk ke Kota Bharu. Jalan kat depan stesen Wakaf Bharu ni agak sesak. Tak pasti sebab apa, kawan aku, Syam pun sampai agak lewat disebabkan kesesakan jalan ni. Syam ni kawan aku sama-sama main ragbi masa kat universiti dulu. 

Di KB, aku tidur kat ParkView GuestHouse. Memang park view sebab kat depan guesthouse ni ada taman kecil, pagi-pagi ada orang senam dan tai-chi. Aku dah book lebih awal guesthouse ni guna booking.com. Murah je, RM24.71. Guesthouse ni kira asrama lah atau hostel. Tandas kongsi kat luar. Kat sini ada beberapa bilik.  Yang aku duduk tu, boleh masuk 4 orang. Bilik diasingkan mengikut jantina. Malam tu aku cuma seorang je tidur kat bilik tu. Kat bilik lain ada jugak orang lain. Kalau datang berdua laki dan perempuan, nak duduk bilik berdua, kena tunjuk bukti dah nikah.

Hostel tempat aku bermalam selama 2 hari

Cerana Guesthouse mungkin nama lama guesthouse ni

Makan malam hari ni aku dibawa oleh Syam ke Berek 12, makan nasi kerabu. Aku pun memang request dengan Syam nak makan nasi kerabu disebabkan trip aku dengan family sebelum ni tak sempat nak makan nasi kerabu.

Nasi kerabu kat Berek 12. Lupa nama kedai

26 Okt 2020 (Isnin)

Pagi ni aku sarapan kat Kopitiam Kita. Dulu masa trip dengan family, dah merasa makan kat sini. Jadi, aku sarapan di sini lah dan hostel yang aku duduk tu kira tak berapa jauh dan boleh la untuk berjalan ke sini.

Roti titab dan kopi

Kuba guling. Dulu pergi tak dapat merasa

Lepas sarapan, aku balik semula ke hostel sebab makan tengahari nanti Syam nak bawa aku makan pulak.

Aku dibawa makan tengahari di Restoran Ulam Cikgu Taman Orkid oleh Syam. Selera sungguh dapat makan kat situ padahal amik lauk biasa-biasa je. Lepas makan tengahari, Syam ajak minum air kelapa pulak kat PCB. Nasi tengahari tadi belum pun turun ke perut, dah minum petang pulak. Hahaha. 

Makan udang celup tepung dan minum air kelapa di PCB

Malam tu aku berjalan-jalan sekitar Menara Jam Tambatan Diraja. Di sana ada peniaga yang berniaga beberapa jenis makanan. Seingat aku, aku makan nasi dagang yang dibungkus, dan aku terus makan di meja yang disediakan di situ.



27 Okt 2020 (Selasa)

Hari terakhir aku di bumi Kelantan. Pagi tu aku bersarapan di lokasi yang telah disarankan oleh kawan-kawan. Pertama sekali, aku bersarapan di Pasar Kubang Pasu. Aku beli beberapa jenis kuih di situ dan duduk order air minum di kedai makan di pasar tersebut. Meriah sungguh pasar tu pagi-pagi. Senorok juga makan sorang-sorang sambil mendengar perbualan orang-orang di sana. Tak faham semua, tapi boleh la tangkap sikit-sikit sebab ramai juga berkawan dengan orang Kelantan. 

Macam-macam makanan ada di sini


Order air teh tarik sambil sarapan kuih yang sudah dibeli

Lupa dah nama kuih ni

Kedai kedua aku pergi untuk sarapan (sarapan dua kali! hehe) adalah di Kedai Kopi White House. Aku mencuba nasi tumpe (tumpang?) Sedak dooh. Kalau pergi ke Kelantan, memang kena makan lagi nasi ni.

Bersarapan di Kedai Kopi White House

Nasi tumpe. Nasi lebik yang dibungkus berlauk sambal udang. Yang lain tak pasti

Selepas sarapan, aku menjadi pelancong. bersiar-siar di sekitar bandar Kota Bharu dan membeli sedikit buah tangan untuk keluarga di Pasar Siti Khadijah. Tak ramai orang sebab hari kerja. Lalu je depan kedai, masing-masing memanggil untuk singgah. Kira macam jejaka idaman Malaya lah masa tu! Setelah membeli-belah, aku pulang semula ke hostel untuk berehat. 






Selepas siap-siap packing beg, aku check-out hostel tapi aku tinggalkan beg kat kaunter. Yelah, takkan nak usung beg besar aku ke sana-sini kan. Aku dicadangkan untuk makan tengahari di D Tower Soup untuk makan nasi sup dan daging bakar. Disebabkan aku salah baca google map, aku dah tersalah jalan dan ikut jalan yang jauh untuk sampai ke destinasi. 

Makan tengahari di D Tower Soup

Selepas makan tengahari, aku ke destinasi seterusnya. Hari ni aku banyak makan tapi aku tak kisah sangat sebab aku berjalan sepenuhnya ke semua destinasi. Kira calorie burned pun banyak lah. Hahaha. Aku mencuba roti tempayan di kedai Roti Tempayan Abe Noor. Rotinya lembut dan kuah cicah pun sedap. Korang kena cuba rasa makan di sini.

Roti tempayan Abe Noor

Lepas pekena roti tempayan, aku pergi ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk merasai popia stadium yang orang kata sedap tu. Memang sedap. Bukan yang macam aku biasa makan kat kawasan rumah aku.

Popia stadium

Kenduri makan semua sudah, aku balik semula ke hostel untuk mengambil beg. Masa nak ambil beg tu, staf hostel tu punyalah baik, dia kata boleh duduk berehat di ruang tamu sementara mengunggu tren aku pada jam 7.08 malam. Seingat aku, aku bergerak keluar dari hostel pada jam 5.30 petang menaiki grab menuju ke stesen Wakaf Bharu.

*Jarak berjalan aku pada hari ni adalah 7.4km.


28 Okt 2020 (Rabu)

Tren aku tiba di stesen Gemas pada jam 7.10 pagi. Tanpa membuang masa, aku terus keluar dari stesen Gemas dan bersarapan di sebuah kedai makan di Taman Damai, Gemas. Selepas bersarapan, aku terus pulang ke rumah melalui Jalan Nyalas, Melaka.

Trip kali ni, aku memang plan untuk duduk di hostel (KB) yang 'walking distance' dengan tempat tumpuan pelancong dan tempat makan. Selain naik kereta Syam, semua tempat aku pergi dengan berjalan. Sekali je aku naik grab, itu pun sebab nak pergi ke stesen keretapi. Pergi pon solo, memang mudah untuk bergerak kemana-mana dengan berjalan. Korang pun boleh cuba dengan kawan-kawan kalau tak berani sorang-sorang.

14 comments:

  1. Hi, tumpang tanya. parking di stesen KTM gemas mmg free atau tertakluk pada masa2 tertentu?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.. nak pergi kem bahar tu kena hiking kan..macamana nak berurusan dgn guide tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau kat jelawang pipe tu, cakap je kat staf situ. nnt diorg carikan

      Delete
  3. Nak bergerak turun dari train ke mana² destinasi tu ada Grab car ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. guna prebet sapu. turun2 stesen dabong ada yang dah tunggu. better cek kat fb group 'train to dabong'

      Delete
  4. Line internet okay tak kat sana ?

    ReplyDelete
  5. line dalam train tu ada tak? hehe tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya guna celcom. kebanyakan tempat dapat je internet. sempat juga tgk game bola kat astro go

      Delete
  6. Salam. Mcm mana nk beli seat tiket shuttle dari dabong ke wakaf bharu? Adakah semua seat facing ke depan?

    ReplyDelete
  7. Nk pegi air terjun jelawang tu mmg kene hiking dlu ke

    ReplyDelete
    Replies
    1. air terjun tak perlu hiking. nak ke kem baha kena hiking

      Delete