Wednesday 20 October 2021

MENDAKI BUKIT MOR 18 OKT 2021

 


Ini pertama kali mendaki Bukit Mor selepas sekatan rentas negeri pada 13 Jan 2021. Naik kali ni, ada nampak beberapa perubahan yang telah dilakukan oleh pihak yang berkaitan. Syabas.

Kat sini aku nak bagi penafian, yang blog aku ni tak menggalakkan sesiapa/kumpulan yang belum pernah naik Bkt Mor ni untuk naik tanpa panduan dari orang yang pernah naik melainkan korang memang pakar mendaki atau pakar selok belok hutan. Aku tak bertanggungjawab kalau berlaku apa-apa berlaku kat korang.

Sampai-sampai di parking, beberapa ekor anjing menyalak kat kereta aku. Korang tak payah takut. Anjing tu tak buat apa-apa pun. Korang halau sikit, ia akan pergi dari situ. Aku dapat parking kat dalam sebab hari ni hari kerja. Biasa kalau hujung minggu aku cuma dapat park kereta di luar je. 

Parking dari arah atas bukit

Aku memulakan trekking pada jam 7.30 pagi. Takde sorang pun pendaki kat parking waktu tu, kereta je yang banyak. 

Ada beberapa destinasi yang dah tak boleh pergi. Trek D tu macam lain dari yang sebenar

Aku macam biasa akan trekking ikut trek A kalau naik Bkt Mor. Kat simpang pertama, aku ambil laluan kanan iaitu trek A dan B. Laluan kiri tu trek C.

Simpang pertama, laluan kanan, trek A dan B

Simpang pertama, laluan kiri, trek C. Abaikan signboard checkpoint

Signboard trek A (biru), trek B (merah), trek C (ungu) dan D (hijau) ni kira baru pada aku. Sebelum ni takde lagi. Laluan trek macam ni la idea aku sebelum ni bila ada rungutan pendaki yang kata trek Bkt Mor ni mengelirukan. Tapi idea tu aku simpan je la sebab aku bukan siapa-siapa pun kat Bkt Mor tu.

Kat simpang kedua, aku ambil trek kanan.

Simpang kedua. Pecahan trek A dan B. 

Simpang ketiga, aku terus je. Pada aku signboard merah tu tak perlu. Sebab laluan tu bukan trek B tetapi laluan tambahan untuk ke trek B.

Simpang ketiga. Trek A terus.

Simpang ke-4. Trek A terus. Kanan ke Dataran Bendera

Dataran Bendera. Boleh nampak pekan Parit Jawa

Tanda keluar. Insya Allah korang dapat keluar kalau ikut ni

Puncak tertinggi Bkt Mor; 233m

Kawasan rehat sekitar puncak 233

Kawasan rehat sekitar puncak 233

Simpang ke-5. Trek A terus. Kiri tu laluan ke trek B

Antara simpang 5 dan 6, memang akan ada kekeliruan sikit. Ada beberapa simpang yang tidak bertanda. Kalau tak pandai, memang boleh silap jalan. 

Simpang ke-6. Terus. Kalau naik ke atas kiri, akan ke trek B

Tokong kecil di trek A

Pondok di trek A

Puncak Bendera kini ditutup

Penghujung jalan trek A. Signboard tunjuk arah balik melalui trek A

Pertemuan antara hujung trek A dan hujung trek C


Melalui trek C secara lawan arah

(22) Dari arah hujung trek C, ambil kanan untuk melalui trek C

Turun ke hujung trek C

Trek D, siap ada amaran sebab trek ni trek yang sukar

Kalau nak turun, ikut kiri untuk lalu trek C. Kanan tu ke dusun durian. 

Kawasan rehat di trek C

Kawasan rehat di trek C

Anak sungai di trek C

Kena lintas anak sungai kat trek C

Dari trek C, boleh nampak akar pokok memeluk batu aka Rock Hugger yang bersebelahan trek B

Trek A dan trek C ni treknya mula sama dan hujungnya pun sama. jadi boleh buat 1 loop.  Aku sampai ke parking semula dalam masa 1 jam 15 minit dengan jarak perjalanan 3.67km.



Pada pendapat aku, trek di Bkt Mor ni memang boleh mengelirukan pendaki terutama pendaki baharu. Jadi dengan penandaan trek A, B, C dan D dengan kod warna amat membantu para pendaki. Cuma pada aku, laluan alternatif/tambahan yang menghubungkan antara trek-trek utama tu dibiarkan sahaja dan diwarnakan kelabu pada peta/panduan. Trek kelabu boleh sahaja dilalui oleh pendaki yang mahir.

Trek B aku tak pasti tandaannya macam mana tapi seingat aku (dan dengan panduan peta di atas), ia terpecah kepada beberapa arah iaitu ke trek A (simpang ke-5), trek A (simpang ke-6) dan yang bersambung dengan trek C (gambar 22). Kat sini bolehlah dipilih 1 laluan sahaja sebagai trek utama (trek B) dan aku pilih laluan yang menghala ke penghujung trek A sebab ia laluan paling dekat pada aku.

Kat sini aku kongsi juga beberapa tips mendaki bukit:

  1. Mendaki pada waktu pagi. Jadi kalau korang 'tersesat' masih ada banyak masa untuk mencari jalan keluar. 
  2. Bawa keperluan asas seperti first aid kit, lampu suluh (walaupun siang), pisau kecil, air dan makanan yang mencukupi. 
  3. Jangan mendaki berseorangan jika tidak mahir. Jika pergi berkumpulan, pastikan ada yang mahir. Ia lebih selamat.
  4. Jika rasa seperti tersesat, cuba tunggu sebentar untuk supaya dapat bertemu dengan pendaki lain. Jika tiada, cuba patah balik ke simpang terakhir dan tunggu pendaki lain.
  5. Jangan malu bertanya kepada pendaki lain tentang laluan. Minta tunjukkan jalan. Ramai yang sudi membantu.
  6. Pilih mendaki pada hari minggu. Ramai pendaki pada waktu ini.
  7. Pastikan orientasi anda. Mana timur/barat, mana arah jalan utama, mana arah parking. Ini membantu anda jika anda tersesat.
  8. Jangan lupa, bawa keluar sampah. Buang di tong sampah di luar kawasan bukit.


1 comment: